Suara pembangkang kini tenggelam

Suara pembangkang kini tenggelam

Lebih kurang satu setengah bulan lagi kita akan menyambut tahun baru 2016.  Malangnya untuk rakyat negara kita dari golongan marhaen dan yang bergaji rendah tahun ini adalah satu tahun yang amat membebankan disebabkan oleh Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST – Goods & Services Tax) yang dilaksanakan pada 1hb April lalu.

Satu lagi masalah yang boleh juga dilabelkan sebagai ‘kesusahan’ yang menimpa rakyat Malaysia ialah suara pembangkang, yakni Pakatan Harapan yang kurang kedengaran pada masa ini.

Rakyat kini sedang tertanya-tanya mengapa dan kenapa suara pembangkang agak senyap sedangkan kerajaan asyik menaikkan harga itu dan ini, contohnya harga minyak, kadar tol dan tambang pengangkutan awam (keretapi komuter, LRT dan monorel).

“Adakah pembangkang sudah putus asa?  Adakah pembangkang seperti kita pun rasa masa hadapan negara dan rakyat marhaen adalah malap?,” tanya seorang juruwang di sebuah pasaraya yang besar di Kepong.

Azlina yang berusia 24 tahun juga berpendapat bahawa walaupun gaji minima dinaikkan sebanyak RM100 dari RM900 ke RM1000, kos sara hidup yang kian meningkat akan melenyapkan kenaikan gaji minima tersebut.

Justeru itu, pihak pembangkang wajib bersuara dengan lebih lantang untuk membantah kenaikan kos sara hidup.

“Penghantaran bil ke rumah pelanggan untuk perkhidmatan talian tetap oleh Telekom Malaysia akan melibatkan bayaran tambahan sebanyak RM5 sebulan oleh pengguna mulai bulan Januari tahun yang akan datang ini.  Sepatutnya perkhidmatan tersebut janganlah melebihi RM2, RM1 pun sudah cukup memadai.  Lagipun ditambah pula dengan GST.  Aduh!  Sangat mahal, lah,” kata rakan setugas Azlina yang bernama Kassim.

Beliau berpendapat bahawa masalah utama rakyat sekarang ialah kos sara hidup asyik melambung naik dan pembangkang pula terlalu lemah untuk membantah.

Seorang pekerja korporat yang sedang membeli-belah dan hanya mahu dikenali sebagai Tan memberitahu bahawa beliau dipaksa bersara hujung bulan ini walaupun beliau baru saja berusia 50 tahun.

“Dunia korporat pun sedang menghadapi masalah dan sedang mengurangkan pekerja.  Pakatan harus peka terhadap hal ini dan menggesa kerajaan supaya mewujudkan tabung untuk rakyat yang kehilangan kerja,” ujar Tan yang berkata pada masa kini tiada orang yang sedang membantu rakyat yang kehilangan kerja.

Mereka yang hilang mata pencarian kini sedang menghadapi kesusahan yang amat berat kerana anak-anak sedang bersekolah dan ada pula yang sedang membayar balik pinjaman bank.  Dimanakah suara Pakatan Harapan?

Seorang pemilik restoran Cina yang biasa bersembang-bual dengan penulis ini telah memberitahu bahawa keadaan ekonomi negara dijangka akan bertambah teruk selepas bulan Februari tahun hadapan disebabkan oleh banyak faktor luaran yang berada diluar kawalan kerajaan kita.  Oleh itu, Pakatan Harapan semestinya patut menggesa kerajaan mengambil langkah untuk membantu rakyat jika ekonomi jatuh merudum nanti.

“Bilakah Pakatan Harapan akan bersuara?  Buat masa ini nampak leka sahaja,” sambung pemilik restoran itu yang juga menyatakan bahawa beliau agak kecewa dengan Pakatan yang seolah-olah tidak mempedulikan nasib rakyat yang susah.

CATEGORIES