Malaysia Dateline

Suara pemimpin GPS ‘senyap’ apabila harga minyak naik

Saban hari, kehidupan rakyat di seluruh negara semakin terbeban lebih-lebih lagi apabila mengenangkan harga barang terus naik dan melambung tinggi.

Dengan situasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia menambahkan lagi perit kehidupan khususnya yang bekerja sendiri.

Bayangkan, andai yang berkerja makan gaji pun sudah terbeban ketika ini, apatah lagi mereka yang hanya bekerja sendiri.

Usah bertanya barang mana yang turun sekarang ini kerana boleh dikatakan setiap hari apa jua keperluan baik di bidang pembinaan atau peruncitan semuanya naik termasuk dalam sektor makanan.

Malah, trend kenaikkan harga minyak turut dirasakan amat perit oleh seluruh rakyat di negara ini khususnya penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

Di Sarawak, kenaikkan harga minyak yang mencanak setiap minggu, sudah pasti meresahkan penduduk di luar bandar dan pedalaman yang rata-ratanya bersandar generator sebagai ‘penerang’ di waktu malam.

Dengan trend harga minyak setiap minggu semakin mahal untuk pengguna termasuk petrol RON 95 bermula Mei tahun lepas telah dilihat amat membebankan keadaan penduduk di negeri ini.

Walaupun secara dasarnya, harga minyak ini ditetapkan di bawah Automatic Pricing Mechanism tetapi sebagai pengguna, rakyat Sarawak mengharapkan harga minyak lebih rendah kerana minyak Malaysia adalah diperolehi dari sumber di negeri ini selain Sabah dan Terengganu dan juga Kelantan.

Ketika zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, harga minyak RON 95 ditetapkan pada harga RM2.08, kemudiannya apabila harga minyak dunia merosot, rakyat pernah menikmati harga terendah RON 95 sejak diperkenalkan pada 2009 iaitu RM 1.25 bermula 11 April 2020 hingga 15 Mei 2020.

Jelas ketika itu, rakyat merasa ‘nikmat’ pertukaran kerjaaan kepada Perikatan Nasional (PN) kerana pemimpinnya ‘dapat’ menurunkan harga minyak secara mendadak.

Namun, saban minggu harga ini mula meningkat sedikit demi sedikit sehingga tidak terasa bahawa harga RON 95 kini telah mencecah RM2.00 bermula 20 Februari lalu dan dijangka terus naik selepas ini.

Teringat apabila seorang Menteri Muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) pernah menempelak Chong Chieng Jen yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan bahawa harga minyak di Sarawak tidak wajar lebih RM2.00 seliter untuk skim subsidi petrol bersasar.

Menariknya, sebilangan rakyat Sarawak menyokong kenyataan pemimpin berkenaan kerana sebagai negeri pengeluar minyak, harga minyak haruslah rendah seperti rakyat negara Brunei nikmati.

Tetapi sekarang, segalanya berubah apabila ketegasan suara pemimpin terbabit hilang dan senyap menempelek Menteri yang bertanggungjawab ketika ini yang juga datangnya dari parti yang sama.

Sebagai rakyat Sarawak, sandiwara pemimpin GPS bukanlah ‘asing’ kerana walaupun sudah 57 tahun duduk sebagai kerajaan negeri, masalah asas seperti air,elektrik dan jalan raya pun belum selesai dari tahun ke tahun.

Atau, apakah pemimpin GPS kini sudah menjadi ‘Ulun Malaya’ setelah bersama Bersatu, Pas, Umno dalam PN.

Ibarat ‘paku dulang, paku serpih, mengata orang, rupanya diri sendiri yang lebih’.

Dan jangan kerana sudah menjadi Ulun Melaya, pemimpin GPS kini telah menjadi pengecut dan bisu.