Suara rakyat di media sosial bakal corakkan politik 2022

Oleh Oleh ZIN MAHMUD

Awal 2022, seperti tahun-tahun sebelumnya akan menyaksikan limpahan daripada kesan terhadap apa yang berlaku pada tahun 2021. Cumanya sempadan antara tahun 2021 dengan 2022 akan mendorong banyak pihak untuk melakukan perubahan, hasil daripada pelajaran yang diperoleh daripada tahun sebelumnya.

Maka, pada penghujung 2021, banyak tempat sedang dilanda banjir. Selain Pahang, negeri-negeri baharu yang turut menghadapi bencana itu ialah Terengganu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sementara banjir di Selangor yang menggoncang negara sudah menyurut tetapi isu yang sedang diluahkan oleh rakyat ialah mengenai pembalakan dan penggondolan hutan, khususnya di Pahang. Tentulah ia dikaitkan dengan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar.

Namun begitu, isu yang dicetuskan daripada banjir di Selangor, khususnya terhadap Taman Sri Muda di Shah Alam masih tidak reda. Malah, ia akan terus dibincangkan.

Rakyat Malaysia dikatakan mudah lupa, tetapi kali ini dengan adanya media sosial, semua isu ini akan terus diingatkan semula hingga membawa kepada tindakan dan perubahan.

Suara rakyat zaman media sosial adalah lebih kuat dan vokal berbanding tahun-tahun dan dekad-dekad terdahulu. Rakyat, seperti kerajaan tidak sentiasa benar, adil dan membawa kebaikan. Tetapi hanya rakyat yang dapat membetulkan pemimpin dan kerajaan apabila mereka tidak melakukan sesuatu yang benar, adil dan membawa kebaikan.

Sistem demokrasi memberi kepentingan kepada suara rakyat. Sebab itu, kebebasan bersuara dan kebebasan media adalah antara sifat penting dalam demokrasi.

Begitu juga dengan kebebasan menubuhkan persatuan termasuk parti politik dan kebebasan mengadakan perhimpunan dan demonstrasi secara aman.

Namun begitu, tidak semua rakyat yang ikhlas dan komited terhadap demokrasi. Banyak kalangan rakyat yang melihat demokrasi hanya sebagai alat untuk mendapatkan kuasa dan seterusnya menggunakannya bagi melaksanakan agenda peribadi atau kelompok mereka yang tidak mencerminkan kepentingan umum rakyat.

Golongan ini apabila memperoleh kuasa akan menggunakan sistem demokrasi untuk mengekalkan kuasa mereka, baik dalam mempengaruhi badan pentadbiran pilihan raya mahupun kawalan terhadap media serta acara politik seperti perhimpunan dan demonstrasi.

Maka tidak hairanlah, dari sejak negara merdeka, parti politik yang berkuasa sentiasa mengawal kebebasan media. Radio, televisyen dan akhbar dikawal oleh golongan ini.

Dengan maklumat terhad dan terkawal ini, sudah tentu minda rakyat umumnya dipengaruhi oleh golongan berkuasa. Rakyat tidak mempunyai maklumat alternatif.

Sebarang maklumat yang dirasakan mencabar kedudukan golongan berkuasa pasti disembunyikan. Jadi, jika kerajaan membuat sesuatu perkara yang tidak betul, tidak akan ada rakyat yang akan membantah.

Namun, apabila internet mula diperkenalkan pada hujung 1990-an, ruang maklumat alternatif mula terbuka. Tetapi ia masih tidak memberi kesan meluas kerana kekangan liputan dan peralatan iaitu komputer.

Tahun demi tahun, ruang maklumat alternatif semakin terbuka. Kesan besar berlaku apabila telefon pintar dapat digunakan dengan meluas. Perkembangan politik Malaysia pada tahun 2008 dan 2018 menunjukkan peranan besar internet.

Ledakan penyebaran maklumat alternatif berlaku dengan adanya media sosial, bermula dengan Twitter, diikuti Facebook, kumpulan-kumpulan WhatsApp, Instagram dan kini Tiktok.

Golongan berkuasa juga menggunakan media sosial untuk mempertahankan kedudukan mereka. Konsultan dan lasykar siber diupah untuk melawan pembangkang. Serentak itu, mereka cuba mengawal media melalui akta dan penguatkuasaan.

Tetapi kerajaan sudah tidak dapat kawal media seperti mana zaman elektronik dan cetak. Zaman sudah berubah, akibatnya, banyak kelemahan pihak berkuasa bukan saja sekarang, tetapi yang dahulu turut terbongkar.

Kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan isu skandal 1MDB menjelang pilihan raya 2018 adalah kerana media sosial. Ia berlaku serentak dengan kegagalan Barisan Nasional (BN) mengawal media sosial. Realitinya, tiada siapa yang dapat mengawal media sosial.

Tetapi antara penyumbang bagi tumbangnya kerajaan PH pada tahun 2020 ialah kempen perkauman dan keagamaan yang dilancarkan oleh penyokong Umno dan Pas dengan juga menggunakan media sosial.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kemudiannya turut tertekan dengan media sosial. Tetapi kali ini ia bukan berbentuk kempen politik pihak pembangkang. Apa yang media sosial lakukan ialah mendedahkan kelemahan kerajaan PN dalam menangani Covid-19.

Pihak yang melakukan kritikan dan kecaman itu bukan dari parti-parti yang menentangnya semata-mata. Tetapi ia datang dari rakyat yang menggunakan media sosial. Pengguna media sosial ini kini dikenali sebagai netizen atau warganet.

Akhirnya di tengah-tengah kritikan rakyat, kerajaan PN tumbang dan digantikan oleh kerajaan BN yang disokong oleh PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti Sabah. Tetapi kerajaan BN juga tidak terlepas daripada kritikan dari netizen melalui media sosial.

Paling jelas perkara ini dapat dillihat ketika berlaku banjir di Selangor bulan lalu. Walaupun BN menang besar di Melaka dan sekutunya, GPS berjaya di Sarawak tetapi kritikan terhadap kerajaan bukan atas dasar kepartian. Jika rakyat tidak puas hati, pasti mereka mengkritik.

Walaupun penyokong pembangkang pasti memainkan peranan, tetapi hanya dengan sokongan rakyat, usaha mereka boleh berjaya.

Liputan wifi tidaklah sekata dan stabil di seluruh negara. Masih banyak daripada rakyat yang tidak berada dalam talian, dan banyak di kalangan  mereka tidak memiliki telefon pintar.

Namun, orang ramai khususnya generasi muda yang aktif dalam media sosial sudah cukup memberi tekanan kepada kerajaan. Dengan penggantian generasi, akan sampai masanya, hampir kesemua penduduk negara ini berada dalam talian.

Kemarahan rakyat terhadap kerajaan, sama ada persekutuan dan negeri melangkaui parti politik. Semua ahli politik menjadi sasaran kerana dirasakan gagal menangani cabaran banjir.
Sudah tentu, pihak yang menjadi sasaran adalah dari kalangan pihak berkuasa. Kelemahan kerajaan bukan saja pada peringkat politik tetapi juga jentera awam itu sendiri.

Kerajaan terpaksa beralah dan mengakui kelemahannya serta melakukan tindakan-tindakan drastik. Ia merupakan hasil daripada tekanan netizen. Perhatian netizen bukan saja terhadap soal bantuan semasa banjir, tetapi juga punca asal bencana itu berlaku.

Dalam soal Taman Sri Muda, melalui media sosial turut dipaparkan mengenai asal usul tapak perumahan itu didirikan di atas kawasan takungan air. Juga dipersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menangani dahulu.

Kemudian ditimbulkan pula mengenai projek Canal City. Tanah dijual dan dibeli oleh siapa. Isu ini tidak akan habis.Kemudahan memperoleh, menyimpan dan menyebar maklumat membolehkan isu ini terus hidup.

Begitu juga dengan banjir di Pahang. Persoalan juga timbul bagaimanakah balak boleh hanyut dan berada di depan rumah mangsa. Isu ini akan berlarutan hingga masuk ke tahun 2022. Selagi netizen mahu mempersoalkannya, perkara ini akan dipanjangkan melalui media sosial.

Kerajaan sekarang dan akan datang perlu memenuhi tuntutan netizen. Sesiapa pun yang menjadi kerajaan akan perlu berdepan dengan netizen.

Mereka tidak dapat mengawal media sosial seperti mana pentadbiran terdahulu mengawal media elektronik dan cetak. Cara terbaik bagi kerajaan untuk menghadapi keadaan ini adalah menjadi pemerintah dan pentadbir yang bagus, iaitu menepati aspirasi sebenar rakyat.

Dalam pada itu, ahli politik wajar menjadi pemimpin yang mampu memimpin rakyat, dan bukan sekadar pandai mencapai dan mengekalkan kuasa.