Suara rakyat kepada PH Johor

Suara rakyat kepada PH Johor

Sememangnya 9 Mei 2018 adalah tarikh keramat dan sejarah baru tercipta dengan perubahan pemerintahan negara dari BN kepada Pakatan Harapan (PH). Selain Malaysia, turut melakarkan sejarahnya adalah negeri yang dulu dikenali sebagai kubu kuat UMNO BN, Johor.

Namun, rata-rata rakyat di negeri paling selatan semenanjung ini mulai tertanya ketika sudah lebih enam bulan PH menerajui pemerintahan yang baharu. Ia merupakan suatu cabaran yang besar apabila pimpinan hari ini yang menjadi pemimpin di Johor adalah mereka yang bukan berlatar belakangkan menteri atau exco sebelum ini.

Sudah pasti, segala kebuasan, semak samun, ranjau dan bermacam lagi istilah akan ditemui sewaktu mereka pertama kalinya membuka fail pentadbiran di Johor. Apa tidaknya, mereka dari PH itulah yang sebelum ini banyak mempersoalkan berkenaan dengan kegiatan salah laku pemimpin BN sebelum ini.

Jelaslah apa yang diperjuangkan mereka sebelum ini akan membebani mereka semula bila mana mereka pula hari ini perlu menyelesaikannya. Dalam masa yang sama, pemimpin PH Johor ini pula harus berhadapan dengan cabaran selain dari jawatan eksekutif yakni permasalahan dari parti mereka sendiri.

Hari ini Johor sudah selesai memilih jawatan lantikan seperti MB, Exco, Speaker, Ketua Pembangkang, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan semua jawatan yang menjadi tarikan ramai namun masih berbunyi pahat walaupun rumah sudah siap dibina. Di peringkat bawahan masih lagi terdapat rungutan dan berlaku juga desakan mengenai pelantikkan yang telah diberikan.

Mungkin bagi pemimpin ini adalah suatu perkara yang biasa, namun tidak bagi penggiat parti. Mereka jelas merasakan masih terdapat kelemahan yang ketara. Apa yang menjadi pertikaian di sini adalah soal pemimpin dilihat lemah dari pelbagai aspek oleh ahli bawahan. Perlu diakui terlebih dahulu, berdirinya pemimpin atas sokongan akar umbi yang kuat.

Tapi apa yang berlaku selepas keputusan Mei 2018 yang lalu masih tidak berjaya merangsang semangat ahli untuk terus membunuh sifat bersyak wasangka kepada pimpinan. Selain ahli, rakyat di Johor juga sedang memerhati tindak tanduk PH dalam menerajui Johor. Bermula dengan lantikan MB Johor yang menjadi pemicu awal.

Dalam kesepakatan empat parti komponen PH, AMANAH menduduki tangga kedua dalam kemenangan Dun tertinggi di Johor dengan 9 Dun, diikuti PPBM 8 Dun, PKR 5 Dun dan tangga pertama DAP 14 Dun. Menjadi tanda tanya sehingga hari ini mengapa pelantikkan MB tidak diberi kepada AMANAH.

Sudah menjadi janji, DAP yang dikenali sebagai parti yang membariskan bangsa cina pastinya tidak akan mendapat perkenan untuk mentadbir negeri ini yang majoritinya berbangsa melayu. Menurut pemerhatian awam sudah layaknya AMANAH diberikan kesempatan untuk mentadbir negeri ini. Hakikatnya perkara itu telah pun tersurat dengan pelantikkan MB bagi parti PPBM.

Dalam tinjauan awal, sememangnya hal melantik MB di Johor ini telah mendapat perhatian ramai dan kebanyakkan mereka maklum untuk meletakkan Salahuddin Ayub yang memenangi kerusi Dun Simpang Jeram untuk mengisi jawatan tersebut. Hal itu tidak berlaku malah dalam undian lapangan, Osman Sapian dari PPBM mendapat tempat ketiga dari tiga nama yang dihantar sebagai calon MB tetapi beliaulah yang dilantik mengepalai pemerintahan Johor.

Ini membuatkan kesangsian awal rakyat berhubung dengan pemerintahan baharu yang diterajui oleh PH di Johor apabila individu yang tidak dipilih rakyat menjadi MB di negeri ini. Sehingga hari ini kewibawaan Osman masih lagi dipertikaikan dan paling mengecewakan rata-rata rakyat sudah mulai hilang rasa hormat kepada pemimpin tersebut dengan menggelarkan jolokan yang pelbagai.

Saya tidak mahu menceritakan soal janji Pengerusi PH Johor sebelum PRU-14 yang menyatakan ‘siapa kerusi terbanyak di antara tiga parti melayu dalam PH (AMANAH, PPBM, PKR) dia akan jadi MB Johor’ kerana perkara itu hanya cakap kedai kopi. Namun apa yang pasti hari ini, rakyat Johor sudah semakin muak dengan telatah pimpinan PH apatah lagi MB Johor hari ini seperti berdiri sendirian tanpa ada yang membantu untuk membelanya.

Kelemahan ini perlu diatasi dengan segera agar rakyat mulai yakin dengan prestasi PH menerajui Johor. Apa yang menyedihkan, bila sambutan 100 hari PH Johor di Persada Johor Bahru, Ogos 2018 yang lalu telah memberi gambaran awal bagaimana respon awam terhadap PH. Dewan yang ditempah besar boleh memuatkan kira-kira 5000 orang hanya dipenuhi sekitar 2000 orang.

Di zaman Khaled Nordin menerajui Johor sebelum ini, dewan yang sama pernah ditempah dan susunan kerusi juga sama namun hadirin yang hadir lebih dari 6000 orang sehingga ada yang terpaksa berdiri. Ini memberi kesan kepada pemerintahan yang baharu. Gambaran ini telah membuatkan ramai di kalangan sektor awam mulai bersuara dengan menyatakan pemerintahan PH di Johor lemah.

Bukan itu saja, rakyat di Johor juga terkesan dengan nada sebegitu. Paling menyedihkan, ahli parti dalam semua komponen turut meletakkan nada yang sama. Cabaran yang dialami oleh PH di Johor ini sememangnya kuat. Sehingga hari ini, saya masih tertanya-tanya apakah post mortem berkenaan dengan suara-suara ini telah dibuat oleh PH Johor?

Sepertinya pasukan pemikir juga masih lagi tidak wujud baik dari segi apa pun bagi membina idea-idea yang baharu sesuai dengan kehendak rakyat. Selain itu amalan pemimpin bersama rakyat untuk turun padang menyelami perasaan rakyat tanpa protokol dan mendengar keluh kesah rakyat sudah semakin pupus.

Hari ini, setelah lebih enam bulan memerintah, suara rakyat mula berkumandang dengan menyatakan ‘pemerintahan sepenggal’. Ini amaran yang terlalu bahaya bagi PH di Johor. Jika berterusan begini, kita akan dapat lihat pembangkang akan terus menerus mendahului dengan membawa suara penentangan tanpa ditangkis seperti hari ini.