Malaysia Dateline

Suara sumbang dari luar gelembung

Saya memang amat jarang keluar dari rumah sejak beberapa bulan, atau mungkin beberapa tahun kebelakangan ini. Membina rumah tangga bersama isteri yang bekerja tidak tentu masa di hospital, selain mengasuh sendiri anak-anak kecil yang setiap masa ada bersama, pergaulan sosial saya memang ketara terhad.

Dalam sebulan, entah berapa kali atau berapa orang sahaja yang sempat saya bersua muka. Kadang-kadang hampir tiada.

Bekerja dan berada di dalam rumah hampir setiap masa kadang-kala mengehadkan maklumat yang membentuk pandangan saya terutama sekitar isu-isu politik.

Kebanyakan maklumat sekarang tidak lagi saya kutip dari sumber-sumber langsung seperti dahulu. Hampir semuanya melalui apa yang boleh dicapai oleh telefon pintar – media arus perdana, dan media sosial semata-mata. Sebenarnya tidak jauh beza dengan masyarakat biasa di luar sini.

Mungkin lebih sedikit adalah saya masih boleh berhubung melalui panggilan telefon atau pesanan teks dengan gedebe-gedebe politik yang sempat saya jalin persahabatan.

Berada di luar pusat gelembung politik ada juga baiknya – ia beri peluang untuk saya memandang satu-satu perkara dengan gambaran yang lebih besar, menggunakan kaca mata seperti masyarakat biasa, bukan lagi ‘orang dalam’ yang serba tahu seperti dahulu.

Jika ada kesimpulan yang cuba saya capai dalam memahami perkara-perkara yang sedang berlangsung sekarang, saya tidak lagi membuat kesimpulan yang hanya saya seorang mampu faham.

Kadangkala bertemu dengan teman-teman yang masih berpeluang untuk ligat berpolitik di luar sana, ada juga rasa sedikit ketinggalan. Peranan yang dahulu pernah juga dimainkan saya – menjadi orang yang dirujuk untuk menyelongkar kisah-kisah di balik tirai politik, mendapatkan cerita-cerita yang tak tersiar di media, kini bertukar tangan. Dahulu lebih banyak berbicara, kini lebih banyak mendengar.

Baru beberapa hari yang lalu, saya dapat kesempatan untuk duduk bertemu beberapa orang kuat politik Pakatan. Banyak juga hal yang dimuntahkan ke meja kopi malam tersebut. Perlahan-lahan saya kutip dan cuba untuk ikut.

Banyak nama yang tidak lagi saya kenal, banyak cerita politik dalaman yang tidak pernah saya dengar. Walaupun diri terasa seperti orang luar yang tidak tahu apa-apa, saya cuba juga menyampuk sedikit sebanyak.

Entah sama ada apa yang saya kongsi relevan atau tidak, wallahualam. Silap-silap pandangan saya malam itu hanyalah seperti suara sumbang netizen di media sosial.

Satu perkara yang saya pelajari sepanjang berada di luar gelembung politik (walaupun tidaklah begitu jauh), adalah banyak tanggapan kita selama ini yang meleset. Kita yang asyik dibuai kisah-kisah politik dalaman ini memang tahu banyak berbanding orang di luar sana, tapi yang kita tahu itu kadangkala tidak pun relevan buat masyarakat pengundi yang ingin kita dekati.

Bahasa kita belum tentu adalah bahasa masyarakat. Kepentingan kita belum tentu adalah kepentingan masyarakat.

Di dalam gelembung politik kita, kita kerap kali terperangkap dengan pengetahuan terhad atau sulit yang akhirnya mengaburkan kita sendiri daripada melihat satu-satu perkara secara objektif, atau sekurang-kurangnya dari kaca mata masyarakat biasa. Kegagalan ini yang selalunya mencacatkan gerak kerja kita.

Misalnya, ketika belanjawan yang pada awalnya dirancang untuk ditolak, tetapi batal pada saat akhir. Kawan-kawan di dalam gelembung politik mungkin boleh cuba untuk “justify” setiap keputusan yang dibuat berdasarkan strategi politik sulit, mungkin melibatkan beberapa rundingan antara blok-blok atau pemimpin-pemimpin politik bagi mencapai satu-satu maksud lain, dengan harapan ianya difahami dan diterima.

Sayangnya, di luar sini, masyarakat tidak tahu sama sekali tentang strategi sulit atau rundingan-rundingan tersebut. Bagi masyarakat yang berada di luar sini, mereka memandangnya sebagai kegagalan bukan sahaja untuk mengotakan apa yang telah dijanjikan, sebaliknya juga untuk membuktikan Pakatan ada sokongan dan upaya menumbangkan Perikatan.

Masyarakat mungkin akan mendengar desas-desus tentang strategi dan rundingan sulit ini, tetapi nilai mukanya sudah siap dibentuk dan tidak mungkin mudah untuk diubah.

Mungkin ketua bahagian dan pengikut-pengikutnya sahaja yang akan layan kisah-kisah dalaman ini, masyarakat pengundi biasa yang jauh dari magnet politik tidak semestinya ambil pusing.

Apakah kita, apabila berada di dalam gelembung politik sendiri akan selalu gagal membaca pandangan-pandangan yang sedang terbentuk di luar sini?

Saya cuba ingati kembali bagaimana saya berdepan situasi yang sama ketika berada di dalam gelembung politik dahulu, dan malang sekali, jawabnya, ya, memang kita akan selalunya gagal.

Pertama, gelembung politik ini sifatnya kadang-kala seperti cermin dua hala. Untuk yang biasa disiasat polis pasti akan tahu bagaimana cermin ini berfungsi. Kita hanya dapat melihat diri kita, tanpa kita tahu bagaimana orang yang di sebelah satu lagi sedang memerhatikan kita. Kita tidak sedar kejelikan dan kehodohan kita sedang ditonton oleh orang di luar.

Kedua, gelembung politik ini kadangkala dibentuk hanya untuk kepentingan sebilangan pemimpin, menjadikan kita terlalu tertumpu kepada mereka dan melupai mereka yang berada di luar.

Gelembung politik tersebut seolah-olah perangkap yang mengelirukan. Kita memasukinya dengan tujuan untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat di luar, tanpa kita sedari titik gravitinya terlalu berat berpusat hanya kepada pemimpin tertentu. Ia adalah ekosistem untuk pemimpin tertentu terus bernafas.

Saya tidak akan nafikan kalau tulisan ini tidaklah begitu adil. Mudah untuk orang yang duduk di luar seperti saya berbicara, bersyarah, dan berceloteh sebegini.

Mungkin satu pesan yang paling adil boleh saya titipkan buat teman-teman yang bernafas dalam gelembung politik adalah, tidak sukar sebenarnya untuk sekali sekala menjengah ke luar sini. Banyak caranya, cuma sama sekali bukan dengan cara ‘program bersama rakyat’ yang dibuat hujung minggu.

 

 

Adam Adli, bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.