Malaysia Dateline

Suarakan keluh kesah rakyat kelebihan PH hadapi PRU15

Ketika Perikatan Nasional sedang mempertikaikan pembahagian kerusi di antara mereka, Pakatan Harapan digesa untuk mengetengahkan soal keresahan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, bagi menghadapi PRU15 yang dilhat begitu penting Pakatan Harapan perlu menyatakan kebersamaan mereka bagi membawa suara keresahan rakyat.

Beliau berkata, kenyataan bersama Jawatankuasa Pendidikan PH yang dikeluarkan hari ini adalah salah satu contoh yang baik mencerminkan kebersamaan itu.

“(Ini menunjukkan PH) Prihatin dan peduli dengan kepayahan dan keluh kesah rakyat biasa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke semalam yang menyatakan keyakinannya terhadap kekukuhan PH.

PH, yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, kini dianggotai PKR, DAP dan AMANAH.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, dalam usaha mempertingkatkan gerak kerja PH, beliau berpendapat, perlu ditubuhkan jentera di peringkat akar umbi secara menyeluruh.

Menurutnya, langkah itu wajar memandangkan masih terdapat kawasan yang belum ada inisiatif sedemikian.

“Tegasnya, mereka (jentera) harus bergerak bersama di semua peringkat,” katanya.

Ditanya apakah yang perlu dilakukan oleh kepimpinan PH, Abdul Aziz berkata, mereka harus mengurangkan pergeseran.

“Ketiga-tiga parti perlu mengadakan kenyataan bersama terutama yang melibatkan isu harian seperti kompaun, vaksin dan seumpamanya. Ini supaya pimpinan di semua peringkat melihatnya (kebersamaan),” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan di peringkat akar umbi pula perlu memahami dan menangani isu tempatan.

“Ambil kesempatan dari pertikaian dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).Lebihkan bekerja, anggap esok pilihan raya,” katanya.