Malaysia Dateline

Suarez sah dijangkiti Covid-19

Penyerang Uruguay, Luis Suarez diuji positif Covid-19 sekali gus terlepas aksi kelayakan Piala Dunia menentang Brazil, pagi esok, umum Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF).

“Ujian dijalankan ke atas semua pemain dalam pasukan kebangsaan. Keputusan ujian menyaksikan pemain, Suarez dan Rodrigo Munoz termasuk pegawai, Matias Faral didapati positif Covid-19.

“Bagaimanapun, ketiga-ketiganya dalam keadaan baik,” lapor AFP memetik kenyataan AUF.

Suarez, 33, memenangi pelbagai kejuaraan termasuk trofi Liga Juara-Juara pada 2015 selain empat gelaran La Liga sejak menyertai Barcelona daripada Liverpool pada 2014.

Dia meninggalkan kelab itu sebagai penjaring ketiga terbanyak dengan 198 gol, di belakang Cesar Rodriguez (232 gol) dan Lionel Messi (634 gol).

Pada 14 November lalu, tonggak pertahanan Uruguay, Matias Vina turut diuji positif Covid-19 selepas pasukan itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Colombia di Barranquilla.

Uruguay akan melayan kunjungan Brazil di Montevideo, pagi esok.