Suasana Aidilfitri bukti istilah kafir harbi tidak relevan di Malaysia

Suasana Aidilfitri bukti istilah kafir harbi tidak relevan di Malaysia

Kebersamaan masyarakat bukan Islam termasuk kaum Cina dalam merayakan Aidilfiti setiap tahun adalah antara petunjuk istilah kafir harbi langsung tidak sesuai digunakan di Malaysia.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah berkata setiap tahun beliau dikunjungi orang bukan Islam tanpa mengira latar belakang agama dan pegangan politik.

“Meraka ziarah saya semasa saya menjadi guru lagi dan tidak kena mengena dengan perjuangan saya dalam politik,” katanya kepada Malaysia Dateline di majlis rumah terbuka beliau hari ini.

Menurut beliau , mereka datang dengan penuh hormat dan sebahagian membawa kueh mueh untuk sama-sama memeriahkan perayaan orang Islam.

Sebab itu katanya beliau terkejut dengan timbulnya isu yang mengatakan parti DAP adalah kafir harbi kerana dikatakan memusuhi Islam.

“Saya berkawan dengan pelbagai jenis orang bukan Islam termasuk ahli DAP dan bagi saya mereka tidak berbeza dari segi menghormati agama Islam dan orang Islam di negara ini,” katanya.

Penziarah termasuk yang bukan muslim tidak melepaskan peluang bergambar dengan Datuk Wan Rahim

Bagi beliau percubaan mengaitkan pandangan berbeza DAP dalam isu hudud dan Akta 355 tidak harus dengan mudah dijadikan sebab menghukum mereka kafir harbi.

“Ini perbahasan politik dan bukan DAP sahaja berpandangan begitu malah ada pihak lain termasuk komponen BN yang berpendirian lebih keras.

“Dalam konteks demokrasi perbahasan berlainan pendapat adalah perkara biasa mengenai sesuatu cadangan yang belum diputuskan.

Tetapi apabila sesuatu cadangan telah diluluskan perlimen dan menjadi undang-undang semua warganegara mesti patuh walaupun asalnya kita tidak setuju,” kata beliau.

Beliau bimbang gembar gembur menggunakan perkataan kafir harbi disalahfaham generasi muda menyebabkan warisan kemesraan antara kaum terjejas pada masa akan datang.

Kita benar-benar berharap hubungan mesra masyarakat Islam dan bukan Islam yang telah terjalin turun temurun tidak dirosakkan oleh penggunaan istilah tidak tepat.

“Sangat perlu diusahakan segera program-program yang mengekalkan sikap saling menghormati dan kunjung mengunjung antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)