Malaysia Dateline

Suasana tenang, proses pengundian meriah di PDM SJKC Yu Ming

Pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Yu Ming 1 memperlihatkan beberapa penyokong Barisan Nasional (BN) mula menyanyi dan bersorak meraih undi parti bertanding.

Berada lebih 50 meter dari perkarangan sekolah, perayu undi BN kali ini turut dibantu dengan beberapa penyokong Pas yang turut memegang poster BN.

Penyokong PH dengan aksi mereka merayu undi

Nampaknya penyokong BN lebih mendominasi di salah satu kawasan pengundian yang terletak di DUN Pekan Nanas ini, berbanding dengan jumlah penyokong Pakatan Harapan.

Sehingga tengah hari, keadaan masih terkawal walaupun beberapa kali perang perayu undi BN-PH kelihatan agresif melakukan provokasi bertalu-talu

“Empat nombor mati. Kita tak mahu kena tipu lagi,” adalah antara sorakan yang boleh didengar di pihak penyokong BN.

Penyokong Pas merayu undi untuk calon BN

Tidak mahu mengalah, penyokong PH pula membalas sorakan seperti “Nombor dua pengkhianat. Penjara, penjara”.

Beberapa kali juga penyokong BN tersasar sehingga mendekati penyokong PH sehingga menimbulkan kerisauan anggota polis bertugas yang kemudiannya terus memisahkan dua penyokong tersebut.

Bagaimanapun, keseluruhan suasana dan keadaan lalu lintas masih dalam keadaan terkawal biarpun jumlah perayu undi semakin meningkat memasuki jam kedua pusat pengundian dibuka.