Malaysia Dateline

Wan Salim Wan Mohd Noor Dr 1

Subjek agama perlu seimbang, peruntukan waktu ditambah, saran Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Noor berkata seharusnya  pembelajaran subjek agama di Sekolah Kebangsaan  dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) perlu seimbangan dan  peruntukan waktu sedia ada perlu ditambah.

“Setahun hanyalah diperuntukan 69 jam di SK  dan 128 jam di SMK.  Peruntukan masa ini amat sedikit dan tidak mencukupi bagi memberi kefahaman yang komprehensif tentang asas ajaran agama yang diperlukan untuk pembentukan peribadi yang baik.

“Tidak dapat dinafikan kepentingan subjek-subjek lain seperti Sains dan Matematik juga diperlukan untuk lepasan sekolah berkenaan memperolehi pekerjaan.

“Namun begitu, perlu difahami bahawa pendidikan Agama Islam juga sama penting atau lebih lagi diperlukan sebagai elemen utama bagi pengukuhan jati diri bangsa, ” ujarnya dalam satu kenyataan..

Beliau mengulas dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  baru-baru ini  bahawa subjek agama Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) diberi tumpuan berlebihan sehingga mengakibatkan lepasan sekolah tersebut kurang mengetahui subjek-subjek lain, sekali lagi menimbulkan keresahan dikalangan masyarakat.

Malah dakwaan sedemikian telah mendapat reaksi yang pelbagai pihak yang menyifatkan ia sebagai tersasar, penuh prejudis dan tidak realistik.

Menurut beliau lagi, pendidikan Agama Islam mampu menjadi benteng yang ampuh bagi membendung masalah jenayah dan keruntuhan moral.

“Kita menyokong cadangan untuk mengkaji semula kurikulum dan silibus pelajaran SK dan SMK.

“Walau bagaimana pun, biarlah kajian tersebut bersifat menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum ianya dimuktamadkan serta dijadikan polisi untuk dilaksanakan.

“Tidak dapat dinafikan pelajaran pendidikan Islam di SK dan SMK bertujuan untuk memberi asas pengetahuan agama serta tumpuan diberikan terhadap fardhu ain sahaja, ” tegasnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, pelajaran sedemikian tentunya tidak mampu melahirkan ulama sebagaimana yang juga didakwa oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Beliau juga berkata, bagi merealisasikan lahirnya ulama maka subjek tambahan seperti ilmu Usul Fiqh, Qawa’id Fiqiyyah, Ulum Al-Quran, Ulum Hadith berserta dengan Mustalah Al-Hadith.

Tambah beliau lagi, disebalik ilmu-ilmu tersebut juga diperlukan ilmu yang berkaitan dengan Bahasa Arab yang merangkumi Nahu, Balaghah dan seumpamanya.

“Disamping ilmu-ilmu yang dinyatakan itu, juga turut diperlukan ialah bakat yang dianugerahkan Allah kepada seseorang.

“Tanpa bakat seseorang tidak akan alim walaupun ia berusaha keras kearah matlamat yang dikehendakinya.

“Oleh itu semua pihak harus melihat perkembangan ini dengan teliti dan cermat serta bukannya dengan mudah mengeluarkan pandangan tanpa asas-asas yang kukuh, ” katanya lagi.