Kerajaan Malaysia Madani kekalkan subsidi ayam, telur

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur mulai 1 Julai lalu.

Keputusan susulan perbincangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan itu dibuat selepas me­ngambil kira kos sara hidup semasa yang dihadapi rakyat.

Ia berbeza semasa kerajaan sebelum ini yang bertindak memansuhkan kawalan harga ayam dan telur ayam.

Malah mereka tidak akan meneruskan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu sedar harga barangan tersebut dijangka meningkat susulan pemansuhan itu.

Alasan kerajaan ketika itu adalah, keputusan tidak meneruskan kawalan bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

Namun, mujur hayat kerajaan yang tidak mahu meneruskan pemberian subsidi dan kawalan harga ayam serta telur itu bertahan hanya 33 bulan.

Keprihatinan Kerajaan Malaysia Madani dalam menangani kos sara hidup terbukti apabila meneruskan subsidi dan kawalan bagi harga ayam serta telur dengan menanggung sebanyak RM200 juta sebulan.