Malaysia Dateline

Subsidi bersasar RON95 fasa akhir, kata Saifuddin Nasution

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang dalam pelaksanaan fasa akhir merangka memo kepada jemaah Menteri berhubung pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar RON95.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, minggu lalu, mesyuarat telah dijalankan untuk memuktamadkan idea tentang pelaksanaan tersebut dan sedang menyediakan memo bersama jemaah menteri dan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, subsidi tersebut masih mementingkan golongan B40 sebagai penerima manfaat di mana ia sebagai pelaksanaan tanggungjawab yang diberikan kerajaan kepada kementerian itu

“Sekiranya diberikan lampu hijau dan dipersetujui, maka kita berhasrat untuk mula melaksanakannya pada tahun ini juga.

“Sejurus selepas mesyuarat jemaah Menteri memberi kelulusan, kita akan laksanakannya. Ambil masa sekarang ini ialah untuk menyediakan kertas kabinet. Membentangkan dan membahaskan itu tertakluk kepada penambahbaikan dan sumbang saran dari jemaah menteri.

“Best kes senarionya, kalau semua berjalan lancar, kita boleh laksanakan seberapa segera. Lari sikit dari target sebab dulu kita target second quarter iaitu berakhir 30 Jun,”katanya ketika sidang media setahun KPDNHEP, hari ini.

Tambahnya, beliau turut menyenaraikan beberapa perkara yang diambil kira dalam fasa akhir tersebut diantaranya data pengguna yang akan digunapakai.

Selain itu katanya, faktor kewangan juga penting di mana kementerian akan mengira jumlah kos yang dibayar oleh kementerian Kewangan setiap bulan.

“Kira-kira itu mesti mengambil kira implikasi kos dan kewangan. Seterusnya adalah strategi komunikasi melalui media untuk membantu rakyat supaya mereka yang tercicir (yang layak terima tapi tidak dapat) untuk dilaporkan kepada sekretariat.

“Pemilikan kenderaan juga akan diperincikan dalam kertas tersebut. Ia akan ambil sedikit masa untuk perbincangan,” ujarnya.