Subsidi dan kuota haji: isu ‘duri dalam daging’ TH

Subsidi dan kuota haji: isu ‘duri dalam daging’ TH

Ini isu maha sensitif yang anda boleh bersetuju atau tidak bersetuju.

Ada dua isu besar yang menjadi ‘duri dalam daging’ bagi Tabung Haji (TH) selama ini selain dari isu hibah/dividen iaitu isu subsidi dan kuota haji.

Isu subsidi telah menjadi buah mulut umat Islam sekian lama tetapi di zaman Malaysia lama, isu ini hanya terkambus begitu saja.

Kos menunaikan haji sentiasa meningkat setiap tahun. Kos RM9,980 yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun 2009 sebenarnya sudah tidak mampu menanggung kos sebenar haji.

Pada tahun 2009, kos haji ialah RM12,600 dan TH menyerap kos dengan memberi subsidi sebanyak RM2,620 untuk setiap jemaah haji.

Subsidi 20%, ya masih masuk akal. Jumlah subsidi yang ditanggung TH ketika itu ialah RM75 juta.

Tapi tahun ini (2018) kos menunaikan haji sudah melambung menjadi RM22,450 seorang dengan hanya RM9,980 dibiayai jemaah, manakala RM12,470 subsidi ditanggung oleh TH. Keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM400 juta.

Itu subsidi melebihi 55% dari kos haji yang sebenar. Bagi aku kalau TH terpaksa menanggung subsidi sampai lebih 55%, itu sudah tersasar.

Mengurangkan beban ialah satu perkara, tetapi di mana falsafah istito’ah (berkemampuan) sehinggakan ada program tajaan haji pula untuk ribuan umat Islam yang tidak berkemampuan.

Tajaan itu bukankah memotong kuota orang yang beratur juga, yang sudah booking deposit RM1,300. Bukankah mereka patut diberi hak “first right of refusal”?

Bacalah puluhan liputan sejak 2011 misalnya mengenai haji tajaan 1MDB dan bagaimana jemaah haji mengaku kalau diikutkan giliran mereka, mereka terpaksa menanggung belasan malah puluhan tahun lagi. Sudahlah kos asas (RM9,980) ditanggung sepenuhnya oleh 1MDB, subsidi TH untuk baki kos tetap diberikan oleh TH seperti biasa.

Sehingga tahun lepas lebih 5,700 jemaah haji menerima manfaat dengan kos yang ditanggung oleh 1MDB sebanyak RM56 juta.

5,700 jemaah yang memotong giliran atas nama kuota. 5,700 jemaah yang asalnya memang tiara istito’ah langsung dan dari segi hukum, tidak dituntut untuk pergi haji pun.

Belum termasuk kuota VIP dan VVIP yang sudah menjadi rahsia umum. Semua orang tahu bagaimana penerbangan haji hujung-hujung sentiasa dipenuhi oleh “kontijen Baling” selama bertahun-tahun. Itu baru satu lembaga.

Berkali-kali jugalah isu kuota ini dinafikan di parlimen, meskipun bukti seterang mentari.

Jangan salah faham. Aku tidak mempertikaikan kemabruran haji para penerima tajaan. Itu hak dan rezeki mereka.

Namun akhirnya apabila falsafah istito’ah sudah tenggelam maka timbullah falsafah “baiknya kerajaan (BN)”, “prihatinnya kerajaan (BN)” – haji sudah menjadi umpan politik. Masakan kita boleh lupa sehingga empat YB Umno menjadi ahli Lembaga Pengarah TH dalam satu masa.

Lalu bagaimana pendirian TH di bawah kerajaan baharu?

Penghapusan kuota yang memotong trip orang lain merupakan langkah permulaan.

Bagaimana dengan subsidi? Ya, satu perkara yang perlu difikirkan oleh Lembaga Pengarah TH.

Seqodar pandangan peribadi aku, prinsip istito’ah perlu ditekankan kembali. Kalau mahu naik haji perlulah berusaha sebagaimana usaha untuk mendapatkan hal-hal lain juga. Jika tak mampu, itu bukanlah satu dosa, asalkan saja kita sudah berusaha.

Mungkin seperti hutang negara juga, jumlah subsidi TH untuk setiap jemaah tidak boleh melebihi sesetengah peratusan. Mungkin tidak lebih 30%. Secara peribadi 55% subsidi merupakan satu angka yang sangat tinggi.

Sistem subsidi TH perlu dirombak semula agar menepati tujuan sebenar pensyariatan haji.