Subuh hari terakhir kempen PRK Sungai Besar dicemari fitnah

Subuh hari terakhir kempen PRK Sungai Besar dicemari fitnah

Pagi hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar menyaksikan wujudnya taktik kotor memfitnah Amanah dan Pakatan Harapan.

Tinjauan Malaysia Dateline selepas Subuh tadi mendapati empat kain rentang tersebut digantung di persimpangan Jalan Parit 1 Barat berdekatan Masjid Makmuriah.

Kain rentang bersifat provokasi itu dilihat rentetan daripada propaganda yang mengaitkan Amanah sebagai diperalat oleh DAP.

Tertera ungkapan, “Pakatan Harapan? Pakatan DAP (Pan + DAP + PKR)”, kain rentang itu turut menampilkan enam gambar tokoh pimpinan ketiga-tiga parti Pakatan Harapan.

Mereka ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Turut ditonjolkan Penasihat Amanah, Ustaz Ahmad Awang; Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Walau bagaimanapun, kain rentang dengan saiz logo DAP lebih besar berbanding Amanah dan PKR itu diturunkan oleh petugas pilihan raya Amanah yang kebetulan menunaikan solat Subuh di masjid tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya melarang mana-mana pihak menaikkan poster yang menyalahi peraturan SPR.

Parlimen Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Amanah, Ustaz Azhar Ab Shukur dengan calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang juga Adun Meru serta calon BN, Budiman Zohdi yang merupakan Adun Sungai Panjang.

Esok seramai 42,655 pemilih bakal membuang undi dengan 67.16 peratus daripada mereka merupakan pengundi Melayu manakala Cina 30.70 peratus, India 1.92 peratus serta lain-lain 0.23 peratus.

COMMENTS

Wordpress (0)