Malaysia Dateline

Sudah ada dalam kerajaan, mana Islam yang Pas konon perjuangkan?

Orang ramai tahu, tidak banyak perkara yang Pas boleh buat dalam tempoh dua bulan lebih jadi kerajaan tebuk atap.

Tambahan pula, portfolio yang pemimpin Pas pegang bukanlah portfolio kanan dalam kerajaan.

Apa yang Pas boleh buat dengan portfolio alam sekitar, komoditi dan hal ehwal Parlimen?

Jika portfolio agama, barulah nampak sejalan dengan idealisme Pas yang mahu martabatkan Islam (kononnya).

Tapi itu tidak berlaku. Timbalan Presiden Pas yang pandai berkuliah dan berceramah agama diberi portfolio alam sekitar.

Tanpa latar belakang sains atau kejuruteraan, sudah tentu tergeliat juga lidah nak bermain dengan terma-terma alam sekitar dan kejuruteraan.

Tak apalah. Semua itu jika dibincang menjadi akademik saja. Tak mungkin dalam tempoh kritikal ini akan berlaku pertukaran portfolio.

Habis mengapa pemimpin Pas menjadi sasaran sindiran netizen dalam isu Adib, hudud, aryuyu 355, premis judi dan arak, haramkan NGO dan sebagainya?

Jawapannya mudah, kerana pemimpin Pas sering menyandar cakap mereka kepada agama atau bahasa kerasnya menjual agama.

Pemimpin Pas selalu sebut, Islam adalah penyelamat, Islam mentadbir bukan ditadbir dan pelbagai ungkapan muluk yang disandar kepada Islam.

Pada masa yang sama, pemimpin Pas mempersoalkan pihak lain kononnya tidak mahu Islam, meminggirkan Islam dan sebagainya.

Lalu Pas mahu mereka diberi peluang mentadbir untuk membuktikan Islam yang kononnya mereka perjuangkan adalah penyelesai kepada semua masalah.

Kini Pas sudah ada peluang itu bersama sekutu politiknya yang lain dalam kerajaan Persekutuan. Maka, apa yang Pas laungkan selama ini diungkit baliklah.

Sebelum jadi kerajaan, Pas dakwa dia berpegang dengan Islam dan Islam mampu selesaikan semua masalah.

Hari ini orang tanya, mana penyelesaian cara Islam yang dilaung-laung itu? Mana penyelesaian masalah pemandu mabuk?

Macam mana dengan masalah judi dan kilang arak? Bagaimana dengan LGBT? Macam mana dengan hudud?

Pertanyaan itu dihala kepada Pas kerana itulah yang mereka laung selama ini. Itulah perkara yang mereka salahkan orang lain sebelum ini.

Semua orang tahu Islam punya keupayaan merungkai masalah manusia. Kalau Pas tidak beritahu pun orang ramai sudah tahu.

Cuma kini orang persoalkan Pas yang mendakwa berpegang dengan Islam, perjuangkan Islam. Mana Islam yang Pas perjuangkan itu selepas Pas kata orang lain tidak perjuangkan Islam.

Islam tetap unggul dan hebat tetapi dijadikan tunggangan politik oleh Pas. Islam tidak akan rosak, cuma orang marahkan Pas yang jual Islam untuk habuan politik.

* Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.