Sudah ada pembeli baharu sedia bayar baki pinjaman kerajaan, kata Pengerusi NFC

Sudah ada pembeli baharu sedia bayar baki pinjaman kerajaan, kata Pengerusi NFC
Datuk Seri Dr Mohamad Salleh

National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sudah mempunyai pembeli baharu sejak 25 Okt tahun lepas yang bersedia untuk membayar balik sepenuhnya baki pinjaman NFCorp dalam masa tiga bulan daripada persetujuan kerajaan untuk penstrukturan semula NFCorp.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata pihak NFCorp masih menunggu persetujuan kerajaan.

“Pihak pembeli baharu syarikat NFCorp sudah pun bersetuju untuk mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal NFCorp dan bersedia untuk membuat pembayaran penuh terhadap jumlah baki pinjaman sebenar dengan pihak kerajaan.

Hasrat ini telahpun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 21 Nov, 2018,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

Dalam kenyataannya itu Lim berkata NFCorp masih belum melunaskan hutang pinjaman dengan kerajaan berjumlah RM254 juta termasuk faedah dan faedah lewat setakat 30 April 2019  dan kerajaan mahu menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman itu.

Mohamad Salleh berkata pihak pembeli baharu juga telah memaklumkan kepada kerajaan mengenai kesanggupan dan keyakinan mereka untuk memulihkan serta menstruktur semula syarikat NFCorp, termasuk pembayaran penuh baki pinjaman dengan kerajaan.

Pihak pembeli baharu dan juga kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, telah pun berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek itu bagi mencapai matlamat Keselamatan Makanan Negara, terutamanya dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin Halal.

“Saya percaya bahawa kenyataan akhbar Lim adalah susulan daripada surat pada 17 Mei lalu yang dihantar oleh pihak pembeli baharu kepada Kementerian Kewangan untuk membayar balik pinjaman itu sepenuhnya”.

Saya yakin di bawah kepimpinan perdana menteri, isu ini akan diselesaikan secara terbaik di mana pihak NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada kerajaan, dan projek yang penuh dengan potensi ini akan dibangunkan semula oleh pihak kerajaan dan pihak pembeli baru syarikat NFCorp,” katanya.

— BERNAMA