Malaysia Dateline

Sudah baca salinan surat 9 Ogos? tanya Azalina kepada Rashid

Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial berhubung surat dari Istana Negara yang didakwa meminta kepastian dari Speaker Dewan Rakyat tentang jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon menerusi responnya kepada portal berita berkata, bukanlah satu precedent atau duluan untuk Yang di-Pertuan Agong berkomunikasi secara terus dengan Speaker Dewan Rakyat berkaitan hal ehwal Parlimen.

Susulan laporan itu, rakan sejawatnya Datuk Azalina Othman bertanya kepada Rashid sama ada beliau sudah baca atau belum salinan surat istana yang bertarikh 9 Ogos.

Surat bertarikh 9 Ogos itu merupakan surat yang sedang tular, di mana ia dilihat ditandatangani Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara yang kemudian diutus kepada Speaker, Datuk Azhar Harun.

Di bawah surat itu juga memaklumkan salinan kepada ketua Setiausaha Negara,  Speaker Dewan Negara, dan timbalan-timbalan speaker iaitu Azalina dan Mohd Rashid.

“YB bukan kita jumpa YDPA ramai ramai pada 29 Jun 2021 ke ?

“Surat bertarikh 9 Ogos 2021 salinannya kepada kita berdua, dah baca ke belum @hjrashidjohor?,” ciap Azalina.

Sementara itu menerusi ciapan yang sama, Azlina turut dilihat memuat naik gambar sembah menghadap Speaker Dewan Rakyat, Dewan Negara dan timbalan-timbalan speaker terhadap Yang di-Pertuan Agong pada tarikh tersebut.