Malaysia Dateline

Sudah bincang bersama keluarga dan mentua, Puteri Sarah failkan penceraian Isnin ini

Tidak mahu melengahkan masa, Puteri Sarah Liyana sahkan akan fail penceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin ini.

Pelakon berusia 38 tahun itu mengaku sudah berbincang dengan keluarga dan mentua serta mendapat persetujuan sebelum membuat keputusan.

“Ya betul. Seperti dinyatakan, saya enggan melengah masa dan mahu memfailkan perceraian segera. Saya akan ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Isnin ini.

“Keputusan dibuat atas persetujuan bersama keluarga. Sebelum membuat keputusan besar dalam hidup, saya berbincang dengan keluarga dan keluarga mentua terlebih dahulu.

“Mereka menghormati keputusan saya mahu berpisah dengan suami, Syamsul Yusof. Lebih cepat, lebih bagus agar saya tidak lagi terbeban dengan konflik rumah tangga,” katanya seperti dipetik BH Online.

Empat tahun menghadapi konflik rumah tangga, Puteri Sarah bersyukur keluarga dan keluarga mentua tidak menghalang setiap keputusan yang dibuat.

“Sebelum ini, saya tidak pernah menyorok apa-apa masalah daripada pengetahuan keluarga.

“Jadi, mereka faham keadaan saya berdepan dengan konflik rumah tangga selama empat tahun ini.

“Sudah masa segala-galanya ditamatkan segera. Saya tekad, enggan menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Baca juga: Setahun Syamsul Yusof sekat nombor di WhatsApp, Puteri Sarah persoal bila nak bincang