Soal anak ini adalah rezeki Allah SWT, sebaik mana pun kita merancang, rancanganNya adalah yang terbaik.
Pastinya setiap pasangan akan melakukan pelbagai cara untuk mendapatkan zuriat termasuklah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Namun bukan semuanya berjaya, begitu juga dengan penyanyi Hazama dan isteri pemuzik Genervie Kam.
Pernah menjalani rawatan IVF tahun lepas, Hazama mengakui dirinya sudah reda andai belum diberi rezeki untuk mendapat anak lapor Kosmo! Online.
“Saya sangat gembira dengan kehidupan sekarang. Walaupun tiada anak, tetapi saya gembira. Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala rezeki.
“Memang perasaan sedih itu ada, tetapi saya reda. Jika bertanyakan tentang perkara ini kepada saya, sejujurnya tiada apa-apa kerana hal sebegini lebih sensitif kepada wanita.
“Apa-apa pun kami sudah berusaha sebaik mungkin. Kita tetap akan berusaha untuk mendapatkam cahaya mata. Apa yang boleh saya katakan, masih belum rezeki,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Jelasnya dia tidak bersedia menjalani rawatan IVF kali kedua kerana kos yang tinggi dan juga atas faktor kesihatan isterinya.
“Kami pernah melakukan rawatan IVF tahun lalu, tapi tidak berhasil sebab ada masalah sepanjang prosedur itu dijalankan.
“Isteri saya sebelum ini pernah hamil luar rahim sehingga terpaksa melakukan pembedahan dan membuang satu tuib dan ia agak berisiko sekiranya hamil sekali lagi,” tambahnya.
Penyanyi berusia 40 tahun itu mengakui kehidupan mereka berdua masih bahagia dikelilingi oleh anak-anak saudara dan kerjaya berada di tahap memuaskan.
Baca juga: Syura rasa beruntung dapat suami bertanggungjawab, masih fikir cari rezeki walau dalam kesakitan