Malaysia Dateline

Sudah dapat restu Sultan Selangor, tiada paksaan bangunkan Kampung Baru

Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan menggunakan pendekatan pengambilan secara paksaan memandangkan telah menerima restu Sultan Selangor selain Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Sulaiman Mahbod dan sudah menandatangani untuk membangunkan Kampung Baru.

Menterinya, Khalid Samad berkata, pihaknya akan menguar-uarkan segala langkah pelaksanaan secara telus tanpa berselindung.

Menurutnya, terdapat banyak publisiti negatif yang sengaja diwujudkan pihak tertentu sehingga mempengaruhi pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

“Kita perlu bantu pemilik tanah memahami situasi sebenar, matlamatnya baik, tawarannya baik dan banyak masalah dapat diselesaikan.

“Tidak ada sebab tiada (penduduk) yang setuju untuk pembangunan yang ingin dibawa kerajaan secara telus tanpa paksaan demi kesejahteraan dan manfaat mereka di tengah bandaraya yang pesat membangun dalam peta dunia,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media penganjuran seminar membasmi kemiskinan bandar hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berharap perjanjian Jualan dan Belian (S&P) pertama akan ditandatangani pemilik tanah pada Jun 2020.

Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan pemilik tanah di Kampung Baru, jelasnya, telah memberi maklumbalas untuk pelan pembangunan yang diusahakan pihak kementerian.

Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata, pihaknya akan mengumpul kesemua data-data yang dikenalpasti dan lot yang sudah diselesaikan untuk ruang pembangunan selepas 30 November ini.

“Mungkin satu lot 50 nama tapi 40 sudah bersetuju maka kita akan turun secara mikro untuk selesaikan setiap satu lot dan seorang secara bersemuka.

“Tapi saya memberi tempoh sehingga Jun 2020 untuk mendapatkan satu penyelesaian yang menyeluruh,” ujarnya lagi.