Malaysia Dateline

Sudah dijawab berkali-kali, bantahan pembangkang hanya kitar semula

Adun penyokong kerajaan (backbenchers) DAP Pulau Pinang menyifatkan bantahan terhadap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) oleh Pas, Gerakan dan NGO yang mempunyai kaitan dengan pembangkang negeri serta Penang Forum adalah kritikan kitar semula yang telah pun dijawab berkali-kali.

Kenyataan 10 Adun penyokong kerajaan negeri itu juga menyatakan PTMP dan projek PSI penting bagi membangunkan negeri yang lestari serta bertaraf dunia dengan pengangguran rendah, pendapatan tinggi dan taraf sosial yang tinggi.

“Kami ingin menegaskan keperluan, kebolehlaksanaan dan visi yang mendasari projek PTMP dan PSI tersebut demi manfaat rakyat dan negeri Pulau Pinang.

“Kejayaan Pulau Pinang kini telah dibina berdasarkan pembangunan industri yang bermula pada tahun 70-an di bawah kepimpinan berwawasan Tun Dr Lim Chong Eu yang mempunyai iltizam membangunkan kawasan Bayan Lepas yang dahulunya sawah padi dan kawasan paya dengan mengubahnya menjadi zon perdagangan bebas dan bandar-bandar baru sekitarnya.

“Tanpa perkembangan terdahulu sebelum ini, Pulau Pinang sudah pasti masih menjadi negeri yang berpendapatan rendah dengan pengangguran yang tinggi, kekurangan peluang untuk rakyat Pulau Pinang berkembang maju,” tegas kenyataan media tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, parti pembangkang seperti Pas dan Gerakan yang membantah PTMP dan PSI dengan membuta tuli memperlihatkan kurangnya visi dan hala tuju mereka untuk mendorong dan mengekalkan pertumbuhan sosio-ekonomi Pulau Pinang pada masa ini dan masa depan.

Malah kata mereka, PTMP dan PSI menjadi semakin penting ketika krisis Covid-19 yang mampu berperanan memacu pemulihan untuk Pulau Pinang dengan menyuntik pelaburan ekonomi disamping menjana peluang pekerjaan baru dan menjadi pemangkin pertumbuhan dan aliran pelaburan masa depan.

“Namun begitu parti pembangkang negeri dan Penang Forum terus mengulangi impak negatif projek tersebut tanpa memberikan penyelesaian alternatif yang lebih baik untuk Pulau Pinang seperti projek PTMP dan PSI,” tambah kenyataan itu lagi.