Malaysia Dateline

Sudah jadi kerajaan masih otak takfiri?

Pas bekerjasama dengan Umno dan berjaya tubuh kerajaan pintu belakang adalah aktiviti politik.

Jika tindakan itu lantaran pemimpin Pas ingin merasai nikmat jadi kerajaan di peringkat Persekutuan, itu normal sebab pemimpin Pas juga ada syahwat.

Sama ada tubuhkan kerajaan pintu belakang perbuatan salah atau betul, itu perbincangan lain.

Tetapi apabila pemimpin Pas sifatkan tindakan mereka menyamai Fath Makkah, nampaknya pemikiran takfiri masih mengakar dalam otak mereka.

Malaysia negara demokrasi. Negara ini ada institusi raja. Pembentukan kerajaan pula berlaku melalui proses pilihan raya.

Parti yang banyak memenangi kerusi berhak mendapat jawatan dalam kerajaan sebab mereka penyumbang utama kepada kemenangan dalam pilihan raya.

Jika Pas tidak puas hati dengan kemenangan DAP, mengapa dalam pilihan raya lalu Pas tidak bertanding di kerusi DAP? Kalahkan DAP di situ, selesailah masalah.

Apabila pemimpin Pas berkata, pembentukan kerajaan pintu belakang umpama Fath Makkah, adakah pemimpin Pas berkata negara ini negara musyrikin?

Pemimpin Pas sedar atau tidak bahawa negara ini ada raja dan sultan yang semuanya Muslim?
Dalam Perlembagaan jelas disebut kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Di mana asasnya pemimpin Pas menyamakan negara ini dengan Makkah pada era penguasaan musyrikin?
Kelantan dikenal Serambi Mekah bukan kerana Pas memerintah tetapi kerana wujudnya banyak pondok pengajian dan ramainya orang alim.

Tanpa Pas pun, Kelantan adalah Serambi Mekah. Tapi yalah, kalau aktiviti tubuh kerajaan pintu belakang tidak ditempel dengan label agama, apa yang Pas boleh buat?

Jika tubuh kerajaan pintu belakang adalah Fath Makkah, siapa Khalid Ibn al-Walid? Siapa Ali yang menjayakan Sulh Hudaibiah?

Siapa Umar dalam kalangan pemimpin Pas dan siapa pula Abu Bakar? Kamu mahu kata semua pemimpin kerajaan PH dahulu setaraf musyrikin Makkah? Belilah cermin dan suluhlah jerawat di muka sendiri terlebih dahulu.