Malaysia Dateline

Sudah jadi kerajaan, Pas dikecam hanya bincang isu artis bertudung

Banyak lagi isu berkepentingan negara dan rakyat harus diketengahkan tetapi isu artis wanita juga menjadi keutamaan Pas.

Itu antara kritikan orang ramai apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkongsikan poster forum malam tadi di Facebook miliknya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkenaan antara tiga ahli panel lelaki dalam forum menerusi Facebook Nurflix.tv bertajuk ‘Cabaran Artis Bertudung: Antara Agama dan Kerjaya’.

Dua pelakon dan pengacara cantik bertudung, Lisa Surihani dan Diana Amir juga mengambil bahagian dalam forum itu selain penampilan pendakwah Ustazah Asni Abu Mansor.

Walau bagaimanapun, rata-rata warganet mengecam Pas lantaran dianggap gagal berperanan memperjuangkan isu rakyat dibadai impak pandemik sesuai dengan kedudukan parti itu dalam kerajaan.

“Ustaz, ramai rakyat tak cukup duit dapur, kerja hilang, ada yang ikat perut demi anak anak sepanjang ujian Covid-19 ini.

“Itu saja nak beritahu. Pandai-pandailah hadam,” sinis Muaz Aziz.

Tidak kurang juga meninggalkan komentar berbaur sindiran mengaitkan status Pas yang sebahagian kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetapi kini hilang majoriti.

“Tajuk cadangan: Ghanimah – antara cabaran lebai,” kata Faizal Rahman.

Pas sebagai parti pembangkang terutama sewaktu Pakatan Harapan (PH) berada di Putrajaya selama 22 bulan sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 dikenali lantang membangkitkan pelbagai isu berkaitan kepentingan Melayu Islam.

Namun, pelbagai isu yang kononnya diperjuangkan Pas sebelum ini dilihat tenggelam apabila menyertai kerajaan tebuk atap PN susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.

Antara isu yang menjadi minat Pas sebagai pembangkang sebelum ini ialah pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) serta isu hak asasi manusia termasuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Turut lantang disuarakan Pas sebelum menjadi kerajaan ialah isu Tabung Haji (TH), dakwaan kononnya DAP menguasai Kabinet Mahathir, lantikan bukan Islam ke posisi penting pentadbiran kerajaan Persekutuan, jualan aset negara, kontroversi pengajaran Jawi dan polemik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Pas juga sebelum ini lantang menyerang Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dengan mendakwa Naib Presiden AMANAH berkenaan mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Selain itu, Pas turut terkedepan menuntut bela atas kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Pas memiliki 18 kerusi Parlimen dalam kerajaan rampasan kuasa itu menyertai kumpulan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu dan kumpulan Azmin Ali dari PKR, dengan 31 kerusi.

Pas juga berpakat dengan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN), Umno yang mempunyai 39 kerusi atau 42 kerusi jika ditambah MCA dan MIC selain disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 kerusi serta beberapa Ahli Parlimen dari Sabah.

Walau bagaimanapun, sengketa Umno-Bersatu kemudiannya mengakibatkan kerajaan PN kini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen daripada 220 ahli Dewan Rakyat.