Malaysia Dateline

Sudah jelas, Pas tidak lagi perkasa Muafakat Nasional kata veteran Umno

Sudah terang tak perlu bersuluh, Pas tidak lagi memperkasa Muafakat Nasional (MN) yang kini menjadi milik Umno dan Barisan Nasional (BN), kata veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, sudah jelas bahawa Pas bersama Bersatu telah menolak sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kenyataan terbaru secara bersama PN dan Pas mempertahankan kerajaan PN meletakkan ahli-ahli parlimen BN yang berada dalam kerajaan PN dalam kedudukan yang janggal.

“Sudah tidak perlu untuk mereka menunggu sehingga Parlimen dibubarkan

“Bila sudah terang, tidak perlu lagi untuk bersuluh!,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Shahrir berkata, susulan kenyataan Pas dan Bersatu itu, pertandingan tiga penjuru dijangka akan berlaku di Parlimen Johor Bahru dan dua kawasan Dun iaitu Larkin dan Stulang

Semalam, Pas mengumumkan akan terus mengukuhkan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua parti menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan pasca PRU15 terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Gabungan itu juga menolak sebarang usaha merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama.