Malaysia Dateline

Sudah merasa darah, takut muncul pula Dracula dalam Umno

Mahiaddin Md Yasin ajar cara jatuhkan kerajaan pilihan rakyat. Dia dan konco-konco dia jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dia sendiri anggotai. Dia pun naik jadi Perdana Menteri.

Ahmad Zahid Hamidi ajar cara jatuhkan ketua kerajaan. Dia dan Geng 15 jatuhkan Mahiaddin dengan menarik balik sokongan. Perdana Menteri dari Bersatu jatuh, Perdana Menteri dari Umno naik. Umno yang kalah pilihan kembali berkuasa. Bersatu/PH yang kalahkan Umno terpelanting.

Sekarang penyakit ini merebak ke negeri pula. Di Melaka, dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Umno berpakat dengan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun Bebas (asalnya DAP) untuk jatuhkan kerajaan pimpinan Umno.

Macamlah Mahiaddin dari Bersatu bersekongkol dengan Umno, Pas dan Geng Azmin menjatuhkan Perdana Menteri PH dari Bersatu.

Cepat sungguh politikus Melayu-Islam belajar perkara tidak baik. Kalau di Perak yang jatuhkan Menteri Besar dari Bersatu adalah Umno tapi di Melaka ia sudah sampai peringkat menjatuhkan ketua kerajaan daripada parti yang sama. Umno jatuhkan Umno.

6. Jadi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dari Umno pun kenalah berjaga-jaga juga sebab dia naik kerana Geng 15 dari partinya berpakat menjatuhkan Perdana Menteri dari Bersatu. Mereka ini sudah merasa darah. Jadi, berhati-hatilah takut muncul pula Dracula dalam Umno.

Ismail Sabri mungkin selamat (atau berasa selamat) daripada konspirasi pembangkang kerana telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PH. Tapi kena berhati-hati juga takut ada musuh dalam selimut yang ada gunting dalam lipatan dalam kalangan pemimpin Umno sendiri. Silap-silap terpotong tiang seri!

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan umumnya dianggap sebagai orang baik dan sesuai ambil alih parti itu. Tapi dia pun sudah mula bersuara. Dia dilaporkan berkata, terdapat beberapa dasar kerajaan yang tidak selaras dengan dasar parti, kerana Umno dan kerajaan adalah dua entiti berbeza. Sebagai contoh dia menyebut MoU dengan PH.

Tapi ada pula orang kata, sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri patut jadi Presiden parti. Kalau dia tunjuk prestasi yang baik dalam masa 100 hari macam dia janji, rakyat jelata akan buka mata.

Perbuatan saling menjatuhkan ini hanya boleh diterima dan dipertahankan jika tujuannya adalah menyingkirkan ketua kerajaan negeri atau persekutuan yang gagal mentadbir dengan baik apatah lagi korup, menyeleweng dan menyalahguna kuasa.