Malaysia Dateline

Sudah seminggu kes Covid-19 melebihi 2000, Kit siang desak buka Parlimen

Veteran DAP, Lim Kit Siang mengulangi gesaanya agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera mengembalikan sidang Parlimen selepas wabak Covid-19 berterusan melonjak melebihi angka 2,000 selama seminggu.

Beliau berkata, negara kini berada di kedudukan Ke-44 dengan kumulatif kes Covid-19 sebanyak 381,813 kes di mana Malaysia kemungkinan akan mengatasi negara Bulgaria yang berada di tangga Ke-43 dengan 392,913 kes dan Arab Saudi dengan 408,038 kes.

Tambahnya, setakat ini hanya 1.4 peratus populari rakyat Malaysia yang sudah menerima suntikan pertama vaksin Covid-19, menjadikan negara ini ketinggalan berbanding 75 buah negara lain yang mencatatkan hampir kesemua populasi mereka sudah menerima suntikan imunisasi.

“Ini harus menjadi perhatian utama menteri kesihatan, Kabinet dan perdana menteri.

“Namun kita mempunyai menteri kesihatan yang lebih sibuk dengan semantik, dengan alasan bahawa tidak akan ada gelombang Covid-19 keempat di Malaysia kecuali gelombang Covid-19 ketiga (mungkin gelombang Covid-19 terpanjang di dunia).

“Rakyat Malaysia bimbang jika Malaysia akan dilanda gelombang Covid-19 keempat sebelum gelombang ketiga dapat ditangani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pada semalam, Kabinet telah bermesyuarat namun tiada sebarang pengumuman mengenai langkah untuk mencegah negara dari gelombang keempat Covid-19.

Walhal katanya, seorang ahli epidemiologi telah memberi amaran bahawa Malaysia mungkin akan berhadapan dengan 50,000 kes aktif menjelang Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Mei depan.

“Jelas Muhyiddin salah apabila mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen ketika dia seharusnya memelopori mobilisasi pendekatan semua rakyat dan seluruh kerajaan melalui Parlimen dan majlis mesyuarat negara.

“Saya meminta perdana menteri untuk menarik balik perintah darurat dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkannya. Panggil semula Parlimen dan lancarkan strategi “seluruh pemerintahan” dan “seluruh masyarakat” dalam perang melawan pandemik Covid-19,” ujarnya lagi.