Sudah-sudahlah guna ubat lembu, babi dan kambing rawat Covid-19

Oleh ARIF ATAN

Pil antiviral terbaru Molnupiravir, khas untuk jangkitan Sars-Cov2 yang masih dalam fasa percubaan telah dikeluarkan oleh Syarikat Merck.

Sebelum ini kami dah gunakan pelbagai jenis antiviral namun keberkesanannya tidak memberangsangkan; lalu kami hentikan.

Malah, penggunaan antiviral secara berleluasa boleh menjadi faktor terjadinya varian baru. Sama seperti penggunaan antibiotik secara bebas menyebabkan terjadinya bakteria superbug.

Ramai bertanya; kenapa kena tumpukan kepada penggunaan vaksin? Kan lebih baik kita cari ubat?
Vaksin digunakan sebelum mendapat jangkitan. Supaya mencegah jangkitan baru dan mencegah jangkitan teruk.

Tapi ubat pula kita gunakan selepas mendapat jangkitan. Mana nak tahu bakal dapat jangkitan teruk atau ringan? Mana nak tahu sempat dapat ubat atau tak?

Antiviral tidak boleh digunakan sebagai profilaksis. Mesti dah kena Covid-19 baru boleh guna. Dengan risiko long Covid lagi.

Oleh kerana ubat ini masih baru dan dipatenkan; maka kita boleh agak yang harganya amat mahal.

Satu lagi; ubat antiviral influenza Oseltamivir pun tidaklah berkesan mana untuk jangkitan virus influenza; vaksin influenza berganda lebih bagus.

Kami tahu sebab kami semua dapat vaksin itu. Dan kami lihat sendiri respon pesakit yang mendapat influenza pneumonia teruk yang tidak divaksinkan. Mahu intubated seminggu dua juga di ICU walau dah makan antiviral tu.

Jadi, kami jangkakan perkara sama juga dengan antiviral terbaru ini.

Namun ini adalah perkara yang bagus. Harap masyarakat berhentilah gunakan ubat cacing haiwan iaitu ivermectin.

Pil itu pun keluaran Merck juga. Malah, Merck beberapa kali keluarkan kenyataan supaya jangan gunakan ubat cacing tersebut untuk jangkitan Covid-19. Tapi semua tak nak dengar larangan Big Pharma tersebut, malah anda kayakan lagi dia adalah.

Kali ini Merck dah cipta antiviral untuk manusia. Jadi, sudah-sudahlah gunakan ubat lembu, babi dan kambing tu.