Malaysia Dateline

Sudah terang lagi bersuluh, Covid-19 tidak terkawal sejak darurat diisytiharkan

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen mengutarakan persoalan kepada kerajaan adakah kes Covid-19 semakin bertambah baik sejak darurat dikuatkuasakan.

Beliau berkata, sudah terang lagi bersuluh membuktikan kes Covid-19 semakin tidak terkawal biarpun proklamasi darurat diisytiharkan sejak Januari lalu.

“Dari segi kesihatan memang terang lagi bersuluh bahawa sejak darurat, kes Covid-19 tak terkawal. Kes terus merebak ke seluruh kawasan yang sebelum ini hijau, bertukar merah.

“Darurat ini katanya diperlukan kerana mereka memerlukan kuasa (untuk tangani Covid-19) tetapi jelas sekali mereka gagal dan tak capai tujuan itu. Mereka perlukan kuasa untuk ambil alih aset (harta).

“Sebenarnya darurat tak perlu. Kita tengah lakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita tak perlu kuasa lebih dari apa yang kita perlu untuk buat satu perkara yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media membincangkan tentang ‘Pandemik dan Vaksinasi, Perlukah Darurat?’, di Hotel Tamu hari ini.

Turut hadir sebagai Panelis, Pengerusi Taskforce Covid-19 Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; dan Pengasas bersama Parti Muda, Dr Mathen Naer.