Malaysia Dateline

Sudah tiba masa MIC lancar kempen ‘Boikot Pas’

Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terutama MIC dan MCA perlu tegas menyuarakan bantahan terhadap sikap kerajaan pimpinan Pas di Kedah susulan pengumuman pembatalan cuti Thaipusam di negeri itu.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, jika dasar diskriminasi boleh dilaksanakan di Kedah, kemungkinan negeri-negeri lain juga akan didorong dengan dasar yang sama.

Apatah lagi katanya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor juga menyatakan dia enggan melayan amaran MIC yang tidak akan menyokongnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Setakat ini hanya pemimpin MIC dan MCA di PN yang membantah kenyataan berbaur perkauman.

“Tetapi anggota PN yang lain terus membisu dengan dasar perkauman dan diskriminasi yang dilakukan. Tiadanya kritikan memperlihatkan bahawa mereka menyokong Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Teresa, sekiranya PN masih dianggap sebagai gabungan berbilang kaum dan agama, maka MIC dan MCA harus menuntut Majlis Presiden PN mengecam Menteri Besar Kedah serta menuntut tarik balik pembatalan Thaipusam sebagai hari kelepasan am.

“Jika gagal, MIC harus melancarkan kempen “Boikot Pas” seluruh negara kerana sikap tidak peka terhadap agama dan toleransi penganut agama lain,” tegasnya.

Terdahulu, selain enggan melayan kenyataan pemimpin MIC, Sanusi juga mendakwa kebanyakan ahli parti MIC menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Malas layan dah, pada PRU-14 pun dia tak sokong kita juga. Kebanyakan mereka mengundi PH. MIC pun tinggal satu kerusi sahaja.

“Hakikatnya MIC yang memerlukan undi daripada bukan India,” katanya seperti dipetik portal BH Online hari ini.

Sementara itu, Teresa berkata, oleh kerana Menteri Besar Pas menunjukkan penghinaan terhadap perayaan orang bukan Islam dan secara terbuka mendakwa bahawa partinya tidak memerlukan undi India, sudah tiba masanya para pemimpin MIC memberi pengajaran kepada Pas.

Menurutnya, MIC perlu memulakan kempen di seluruh negara memboikot Pas untuk membuka jalan mendorong lebih ramai rakyat Malaysia memboikot Pas pada PRU akan datang.