Sudah tiba masa SPR menambah baik proses daftar pemilih, kata GPMS

Sudah tiba masa SPR menambah baik proses daftar pemilih, kata GPMS

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden GPMS Zambri Mohd Isa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta untuk melakukan anjakan paradigma dalam menambah baik proses daftar pemilih pada pilihan raya umum akan datang, kata Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa.

Beliau berkata, proses pilihan raya sesebuah negara amat penting dalam menentukan hala tuju masa hadapan Malaysia.

Justeru GPMS mencadangkan kepada SPR menambah bilangan kaunter pendaftaran dan informasi mesra rakyat untuk menyampaikan penerangan mengenai SPR dan sistem pilihan raya di negara ini.

Malahan mahu agensi itu menyediakan lokasi kaunter yang lebih strategik bagi memudahkan rakyat membuat pendaftaran pemilih.

“Sudah tiba masanya SPR meningkatkan keupayaan agensi ini dengan membuka lebih banyak kaunter di lokasi strategi dan tumpuan orang ramai seperti stesen kereta api, bas dan di kawasan perumahan awam dan swasta.

“Ini bermakna SPR memastikan lebih komitmen pegawai mereka untuk turun padang bagi menyediakan kemudahan lebih efektif agar rakyat datang kepada mereka untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Selain pendaftaran atas talian pengeposan borong pendaftaran kepada rakyat juga dilihat baik untuk dilaksanakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan SPR pada 1 Januari telah memaklumkan statistik terkini menunjukkan terdapat sebanyak 4,189,754 rakyat negara ini yang layak mengundi masih lagi tidak mendaftar pemilih.

Daripada jumlah itu sebanyak 1,803,088 adalah dikalangan orang Melayu.

Katanya lagi, rakyat perlu dididik untuk mengetahui kepentingan dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih atau pengundi agar dapat memilih pemimpin yang berkaliber bagi pilihan raya akan datang.

Justeru GPMS turut mencadangkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi mewajibkan agar pelajar dan mahasiswa mengikuti program taklimat berkaitan sistem pilihan raya di negara ini dengan kerjasama SPR.

“Warga pendidikan pula wajar memberi penekanan dan kepentingan pilihan raya semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah supaya pelajar berminat dan berasa bertanggungjawab untuk mendaftar sebagai pemilih ketika usia mencecah 21 tahun,” ujarnya.

Zambri juga menekan kerajaan juga perlu menilai dan mengkaji kesesuaian untuk meminda perlembagaan yang mewajibkan warga negara berusia 21 tahun ke atas didaftar secara automatik sebagai pengundi dan wajib untuk turun mengundi.

TAGS