Malaysia Dateline

Sudah tidak ada pilihan lain untuk Mahiaddin, letak sahaja jawatan

Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tidak ada pilihan lain selain perlu meletakkan jawatannya dengan kadar segera.

Adun Durian Tunggal, Datuk Sofi Wahab berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin telah gagal kerana menyebabkan kekeliruan dalam Dewan Rakyat berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bahkan katanya, Mahiaddin terang-terangan telah mengetepikan Agong dalam isu pembatalan Ordinan Darurat sehingga menteri beliau sendiri berani mengumumkan pembatalan tanpa diperkenankan.

“Mahiaddin dan Kabinetnya telah menderhakai Agong dan justeru itu mesti meletakkan jawatan serta merta tanpa bertangguh lagi.

“Jika masih berdegil maka jelas terbukti beliau seorang perdana menteri yang menderhaka kepada Raja-Raja dan tidak bermaruah serta tak berprinsip. Jelas sekali bahawa beliau adalah pemimpin yang tidak layak memimpin negara,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Untuk rekod, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman telah menangguhkan sidang Parlimen sehingga jam 3.30 petang nanti selepas ianya ditangguhkan pada 12.30 tengahari tadi.

Ahli-ahli Parlimen juga sedang menunggu keputusan seterusnya yang akan dibuat oleh Dewan.