Sudahkah Pas Islamkan Umno?

Sudahkah Pas Islamkan Umno?

ULASAN: Gabungan Pas dan Umno ini agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan Pas dahulu belum selesai. Ulama Umno keluar Umno untuk menubuh Pas kononnya kerana Islam. Lagipun semasa kepimpinan Umno yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama Umno dan Pas tidak berlaku adalah kerana Pas telah mengkafirkan Umno.

Pas tidak pernah menarik balik “fatwa” tersebut. Sudahkah Pas Islamkan Umno?

Keduanya, Pas juga tidak mahu bekerjasama dengan UMNO pada masa dahulu kerana Umno mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

Ini adalah di antara asas Amanat Haji Hadi yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang Umno, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang Pas jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang Umno, mengharamkan anak mengahwini anak orang UMNO, mengharamkan isteri mengundi Umno dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi.

Adakah kesemua larangan dan amalan-amalan ini telah ditarik balik atau di arah untuk dihentikan? Apakah orang UMNO terima bahawa mereka dengan Pas kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak.

Melihat pada perkembangan sekarang, kerjasama antara UMNO dan PAS lebih ke arah untuk mengembali Datuk Seri Najib sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang Najib didakwa telah melakukan.

Adakah Pas sudah anggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salahguna kuasa tidak bersalah.

Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salahguna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan?. Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?

Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin PAS jika ia didapati bersalah.

Tetapi jika ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin PAS yang arif akan apa yang berlaku di serata dunia, kenapakah mereka masih bersedia bersekongkol bersama Umno dan Najib. Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli Umno sudah meninggal Umno kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.

Mereka juga pasti sedar bagaimana beberapa buah bank terkenal dunia telah di tutup dan pegawai-pegawai mereka didakwa dan di jel kerana pembabitan di dalam skandal 1MDB.

Selain dari itu, PAS perlu sedar nilai yang diterap dengan bekerjasama dengan Najib dan UMNO di waktu ini.

Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai “Boss” yang tak perlu berasa malu.

Bos bermakna “Tuan Hamba”. Apakah Pas juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah Pas perasaan malu apabila menerima Najib sebagai “boss”.

Beberapa orang pemimpin Pas telah datang berjumpa saya dan menyerah satu dokumen akujanji akan menyokong saya sebagai Perdana Menteri. Pemimpin PAS kata tidak akan berkempen sokong BN di Semenyih. Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin Pas hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji Pas?

PH tidak gentar melihat gabungan Pas dengan Umno. Ia memberi banyak isu dan peluang mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan sudah jadi wajib bagi mereka.

Petikan tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya  chedet.cc