Malaysia Dateline

Sudahlah berkurung PKP, penduduk Kota Bharu putus bekalan air

Masalah bekalan air sejak beberapa tahun lalu yang membelenggu kira-kira 2,000 penduduk di sekitar Lundang, Kota Bharu lebih terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penduduk di kawasan itu mendakwa sukar untuk membeli air di sekitar bandar ekoran langkah mengekang wabak Covid-19 pada masa ini.

Mereka juga bergantung sepenuhnya dengan bekalan disediakan menerusi tangki statik dihantar oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Lapor Sinar Harian, gangguan bekalan air menjadi masalah utama di kawasan tersebut serta pada masa sama turut mengganggu perniagaan penduduk.

Peniaga kedai makan, Mohd Abdul Hadi Yunus memberitahu masalah air sering berulang di kawasan itu dan dua bulan sebelum PKP masalah sama kembali dirasai penduduk.

“Kami berterima kasih kepada AKSB sediakan air, tetapi kami juga perlu masing-masing berjimat. Satu tangki boleh bertahan untuk sehari.

“Waktu malam air mula masuk, tapi tidak banyaklah. Kami pun harap perkara ini mendapat perhatian pihak sepatutnya,” katanya.

Kerja baik pulih telaga tiub di LRA Pintu Geng dan Tok Jaafar Kota Bharu baru-baru ini.