Sudan nafi Perancis bantah usaha damainya di CAR

Sudan nafi Perancis bantah usaha damainya di CAR

Kerajaan Sudan menafikan bahawa Perancis telah membantah peranan negara itu dalam mencapai keamanan di Republik Afrika Tengah (CAR), lapor agensi berita rasmi SUNA.

“Desas-desus bahawa Perancis membantah peranan Sudan dalam membawa keamanan di CAR adalah tidak benar. Perancis telah memaklumkan kami melalui lebih daripada satu pasukan bahawa ia tidak membantah sebarang usaha Sudan di CAR,” kata Menteri Luar Sudan Al-Dirdiri Mohamed Ahmed.

Sudan kini menjalin usaha sama dalam kerangka inisiatif Afrika berkaitan usaha negara itu untuk membawa keamanan di CAR, kata beliau.

Pada Isnin, Rusia telah melahirkan kekecewaan berhubung draf resolusi Perancis di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyasarkan pengantaraan Sudan-Rusia dalam usaha membawa keamanan di CAR.

Pada 15 Nov, Presiden Sudan Omar al-Bashir mendakwa bahawa beberapa pihak yang tidak dinamakan telah melumpuhkan usaha negara itu untuk mencapai keamanan di CAR.

Pada Ogos, Khartoum menjadi tuan rumah bagi satu sesi rundingan antara puak pembangkang bersenjata Seleka dan kumpulan militia Anti-Balaka di bawah satu inisiatif Rusia serta naungan al-Bashir.

Rundingan itu dimuktamad dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman yang memerlukan penubuhan satu badan bersama bagi keamanan yang bertujuan membasmi kelkerasan dan ekstremisme, menghentikan permusuhan serta membolehkan warganya bergerak bebas selain berdagang dengan negara-negara jiran.

Satu rundingan damai baharu antara pihak-pihak yang berkonflik di CAR bakal berlangsung di Khartoum menjelang pertengahan November, namun Khartoum telah mengumumkan penangguhannya sehari sebelum itu atas permintaan Kesatuan Afrika (AU) memandangkan ia berbetulan dengan Sidang Kemuncak Luar Biasa AU berhubung Pembaharuan Institusi di Addis Ababa, ibu kota Ethiopia.

Sejak 2013, CAR telah terjerumus dalam konflik agama dan etnik selepas Seleka, yang majoriti anggotanya beragama Islam, telah merampas kuasa menyebabkan Anti-Balaka bertindak balas.

— BERNAMA