Suhaimi Saad meninggal dunia semalam, isteri dedah permintaan arwah mahu ditidurkan sebagai ikhtiar terakhir

Oleh KIM SYAZIE

Bekas anggota Inteam, Suhaimi Saad menghembuskan nafas terakhirnya semalam kira-kira jam 7.40 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Isterinya, Ina Naim atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim berkata, suaminya sudah mula batuk teruk sejak Ogos lalu.

Katanya, kesihatan arwah semakin merosot sejak awal Oktober selepas mengalami cirit-birit sehingga susut berat badan sebanyak 20 kilogram.

Dia juga mendedahkan bahawa arwah telah lama minta untuk ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.

“Semasa dari Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.

“Semasa hidup, arwah suami juga ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lepas genap usianya 43 tahun,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HSI malam tadi.

Sementara itu, berita duka pemergian Suhaimi pada awalnya dikongsikan pengendali akaun Presiden Maljlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Razin Che Mud.

“Innalilllahi wainna ilaihi rojiun, sahabat kita yang mulia Mohd. Suhaimi Saad bekas anggota kumpulan Inteam baru sahaja kembali ke rahmatullah pada pukul 7.40 malam tadi di Hospital Sultan Ismail Johor Bharu.

“Marilah sama-sama kita doakan agar roh almarhum ditempatkan bersama para anbiya dan solehin di syurga,” katanya.

Terdahulu, ketua kumpulan In-Team iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid mengesahkan mengenai kesihatan Suhaimi yang merudum dan terpaksa ditidurkan di ICU.

Difahamkan Suhaimi sudah pun berada di sebuah hospital di Johor Bahru, sejak Jumaat lalu selepas mengalami batuk kronik dan cirit birit berpanjangan.

Arwah sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi ICU hospital berkenaan akibat pneumonia.

Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Baca juga: Siti Bainun turun 60KG, ini menu makanan di penjara Malaysia yang ramai tak tahu