Suhaizan umum lepas jawatan Ketua AMANAH Pulai

Suhaizan umum lepas jawatan Ketua AMANAH Pulai

Suhaizan Kaiat ketika memberi ucapan dalam Mesyuarat Tahunan AMANAH kawasan Pulai Kali Ke-4 Tahun 2019.

Ketua Kawasan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kawasan Pulai, Suhaizan Kaiat hari ini mengumumkan melepaskan jawatannya pada Mesyuarat Tahunan Kali Ke-4 Tahun 2019.

Dalam pengumuman tersebut, beliau menyatakan sudah tiba masa untuk pemilihan kali ini memilih Ketua Kawasan yang baharu.

Dalam pada itu, Suhaizan akui beliau menghadapi kekangan masa untuk menjadi pemimpin yang baik di kawasan Pulai disebabkan pelbagai tugas yang dipikulnya hari ini selain menjadi Speaker Dewan Negeri (Dun) Johor.

“Sudah tiba masanya perwakilan untuk memilih ketua yang baharu dalam pemilihan kali ini dan saya sudah menyatakan hasrat tidak menjadi Ketua Kawasan sejak enam bulan yang lalu kepada pimpinan utama kawasan.

“Pulai adalah satu-satunya parlimen yang dimenangi oleh AMANAH di Johor, tanggungjawab adalah berat dan memerlukan tumpuan masa yang lebih. Pulai perlukan pemimpin yang mampu memberi fokus kepada perkhimatan rakyat, pengukuhan Pakatan Harapan (PH), pembangunan ahli dan cawangan-cawangan.

“Kemenangan kita harus kekalkan dan ini tugas bagi Ketua Kawasan yang akan dilantik bersama dengan Jawatankuasanya. Apa yang perlu adalah semangat membawa dasar parti kepada masyarakat di Pulai,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan.

Menurut Setiausaha Organisasi AMANAH Nasional itu lagi, sifat bersaing dalam parti itu adalah suatu yang baik namun sifat menjatuhkan lawan adalah perkara yang ditentang.

Beliau mengingatkan kepada semua perwakilan dan ahli AMANAH agar mengingati semula perjuangan yang jerih serta payah selama ini diharungi.

“Selama empat tahun umur parti ini kita bangunkan sama-sama dan selepas itu kita diberikan kemenangan. Ini adalah dugaan yang besar bagi kita.

“Persaingan dalam demokrasi ada yang kuat dan ada yang lemah namun pekara itu adalah biasa. Saya harapkan selepas ini penyatuan serta fokus kepada gerak kerja membangunkan parti,” ucapnya lagi.

Sebelum ini Suhaizan telah menerajui parti AMANAH di kawasan Pulai selama empat tahun dan beliau sebelum ini aktif di kawasan Tanjung Piai kerana bertanding di Dun Kukup pada PRU-14 yang lalu.