Suhakam bantah hukuman mati terhadap pembunuh anak, ini respon bapa Zulfarhan

Oleh MALAYSIADATELINE

Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros merasa kesal atas kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang membantah hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh anaknya, tujuh tahun lalu.

Bapa berusia 60 tahun itu juga mempersoalkan peranan organisasi berkenaan yang seharusnya menuntut keadilan berhubung kematian anaknya kerana dibunuh dengan kejam sebaliknya lebih membela hak pesalah.

Zulkarnain turut mendakwa bahawa tindakan Suhakam ini seolah-olah memberi bayangan bahawa mereka sebenarnya mempunyai agenda yang tersendiri dalam membantah hukuman mati tersebut, lapor Majoriti.

“Di mana Suhakam ketika anak saya dibunuh dengan kejam tujuh tahun lalu? Kenapa perlu sekarang? Apa yang cuba mereka sampaikan? Suhakam seolah-olah ada unsur politik. 

“Mereka berpolitik demi kepentingan peribadi. Jika tiada kepentingan peribadi, mereka tidak akan memberikan kenyataan sedemikian rupa. Sebagai contoh, masa arwah diseksa tujuh tahun dahulu kenapa tiada yang tampil memberikan kenyataan?

“Sedangkan pada ketika itu Zulfarhan didera dengan kejam sehingga dia hilang nyawa. Mana keadilan untuk arwah? Mereka sudah tentu ada kepentingan dan agenda mereka sendiri,” katanya memetik laporan Majoriti.

Dalam pada itu, Zulkarnain memohon semua pihak menerima keputusan mahkamah dan berharap agar tiada yang cuba mengambil kesempatan di atas kes melibatkan kematian anaknya itu.

“Kita hormat keputusan mahkamah dan arwah anak saya juga layak mendapat keadilan yang selayaknya,” ujarnya dalam nada sayu ketika diminta untuk mengulas kenyataan Suhakam yang membantah keputusan mahkamah sebelum ini.

Terdahulu, Suhakam membantah hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas enam bekas pelajar UPNM kerana berpandangan ia bukanlah satu penyelesaian adil mahupun berkesan.

Sehubungan dengan itu, organisasi tersebut meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan yang lebih saksama serta berperikemanusiaan untuk semua pesalah.

Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM terbabit selepas ia diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Keputusan dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan. 

Baca juga: Jual muka sedih sikit, pengemis warga asing boleh raih pendapatan RM10,000 sebulan