Suhakam buat tuduhan berat sebelah terhadap Cawangan Khas Bukit Aman, kata peguam

Suhakam buat tuduhan berat sebelah terhadap Cawangan Khas Bukit Aman, kata peguam
Datuk Shaharudin Ali

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) didakwa melaporkan siasatan berat sebelah apabila menuduh Cawangan Khas Bukit Aman melakukan penculikan Paderi Raymond Koh Keng Joo dan Aktivis Sosial, Amri Che Mat.

Peguambela dan Peguamcara, Datuk Shaharudin Ali berkata, menuduh pihak polis melakukan penculikan secara kuatkuasa (Enforced Disappearance) merupakan tuduhan serius dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, Suhakam tiada kuasa membuat pendakwaan apatah lagi pertuduhan terhadap individu atau kumpulan individu itu sendiri.

“Suhakam telah menjalankan inkuiri yang telah melencong dari skop bidangkuasanya kerana siasatan kehilangan tersebut bukan kes pelanggaran hak asasi manusia.

“Malah, mereka perlu tahu, prosiding mahkamah masih lagi berlangsung dan mengikut Seksyen 12(2), akta tersebut tidak membenarkan mereka meneruskan inkuiri jika prosiding di mahkamah masih belum selesai. Namun mereka sewenang-wenangnya mengabaikan perkara ini.

“Apabila ada kes berlaku di bawah kuasa Suhakam, mereka sepatutnya melihat perkara itu dari sudut pelanggaran hak asasi manusia, bukan menuding jari menyalahkan pihak lain. Ia bukan bidangkuasa mereka untuk menentukan siapa bersalah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Seksyen 12(2) memperuntukkan Suruhanjaya tidaklah boleh menyiasat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia di mana (a) merupakan perkara apa-apa prosiding yang belum selesai di mana-mana mahkamah.

Jelas beliau, Suhakam telah merujuk kepada International Convention for the Protection of all persons from Enforced Disappearance (ICCPED) dan Universal Declaration of Human Rights (UNDHR) bagi mengukuhkan teorinya berkaitan ‘Enforced Disappearance’.

Sidang  media yang diadakan Suhakam pada 3 April lepas.

Katanya, Malaysia tidak pernah mengiktiraf UNDHR yang dirujuk Suhakam dan mereka tidak merujuk pada pelanggaran hak kebebasan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang sebenarnya.

Suhakam dalam laporannya turut memutuskan bahawa siasatan polis berkaitan kehilangan Paderi Koh adalah bohong dan tipudaya semata-mata demi merahsiakan ejen cawangan khas yang terlibat.

“Suhakam bertubi-tubi memutuskan bahawa ejen-ejen Cawangan Khas Polis terlibat dalam jenayah ghaib atau menculik kedua-dua mangsa.

“Keputusan mereka untuk meneruskan inkuiri ini akan terus menjejaskan perbicaraan yang sedang berjalan kerana tertuduh akan mengatakan, ‘bukan saya yang menculik, tetapi cawangan khas dan ini adalah keputusan Suhakam’,”ujarnya

Pada Sabtu, Pengarah Cawangan Khas (PCK) Datuk  Seri Abd Hamid Bador mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan Suhakam mengaibkan mereka dan memberi kesan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ekoran dari tiadanya penyertaan aktif dari peguam negara untuk membidas hujah-hujah berat yang dilemparkan kepada PDRM, Shaharudin menyifatkan ia sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan

“Sejak sekian lama, Jabatan Peguam Negara (AGC) sering membela polis dalam semua urusan kes jenayah. Namun dalam kes ini, tiada peguam yang tampil membela PDRM,”katanya.

Pada 3 April, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan Paderi Koh dan Amri.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai, berkata berdasarkan perbincangan panjang terhadap kedua-dua kes, panel terbabit mendedahkan bahawa individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara terbabit dalam penculikan itu.

Baca: Suhakam