Suhakam dedah penculikan Pastor Koh, Amri Che Mat ada kaitan bahagian unit polis Bukit Aman

Suhakam dedah penculikan Pastor Koh, Amri Che Mat ada kaitan bahagian unit polis Bukit Aman
Sidang media yang diadakan hari ini, bersama peguam-peguam yang mewakili ahli keluarga Pastor Koh dan Amri Che Mat.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendedahkan penculikan Paderi Raymond Koh dan aktivis Perlis, Amri Che Mat lebih dua tahun yang lepas dilakukan oleh bahagian unit polis yang sama.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, dalam pendedahan siasatan awam berkata penculikan tersebut dilakukan oleh ejen yang dikenalpasti sebagai Cawangan Khas, Bukit Aman.

“Setelah melakukan beberapa perbincangan terhadap kes ini, panel sebulat suara berpandangan Paderi Koh dan Amri ialah mangsa penculikan secara paksaan (Enforced Disappearance) seperti yang dijelaskan dalam International Convention for Protection of all Persons from Enforced Disappearances (ICPPED)

“Sekarang ia bergantung pada pihak polis untuk menyiasat dan membawa pesalah supaya bertanggungjawab ke atas jenayah yang dilakukan.

“Kami turut bercadang supaya pasukan petugas khas ditubuhkan untuk membuka semula dan menyiasat kes ini sebagai kes penculikan secara paksaan, bukan kes kehilangan orang.

“Penculikan mereka bukanlah kehilangan secara sukarela tetapi secara paksa yang melanggar undang-undang jenayah biasa,”katanya.

ICPPED membawa maksud, kehilangan secara paksa ditakrifkan sebagai penangkapan, penahanan, penculikan atau bentuk-bentuk lain perampasan kebebasan oleh ejen-ejen kerajaan atau oleh orang perseorangan, atau kumpulan-kumpulan orang perseorangan, bertindak dengan kelulusan, sokongan atau persetujuan kerajaan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Koh, 64, atau nama sebenarnya Keng Joo Koh diculik pada pagi 13 Februari 2017 di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya sebelum dilarikan sekumpulan lelaki yang berkonvoi menggunakan beberapa buah kereta .

Sebelum itu juga, tiga rakan Koh iaitu aktivis sosial Amri Che Mat serta Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth Hilmi turut dilaporkan hilang sejak 2016.

Keluarga Pastor Koh dan Amri Che Mat. (Duduk kiri) Nor hayati Mohd Ariffin dan Suzanna Koh.

Sementara itu, isteri kepada Amri dan Paderi Koh, Norhayati Mohd Ariffin dan Suzanna Koh bercadang untuk berjumpa dengan beberapa menteri kabinet.

“Kami belum berbincang dengan peguam lagi, tapi kami bercadang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, dan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat terkini tentang hasil penyiasatan.

“Kami akan beri tempoh 3 hingga 6 bulan untuk pihak berkuasa menangkap mereka yang bertanggungjawab terlibat dalam kes penculikan ini.

“Namun sekiranya tiada tindakan yang diambil, kami akan membuat tuntutan saman sivil terhadap cawangan khas atau individu tersebut,”ujarnya.

Manakala Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, peguam yang mewakili kedua-dua pihak keluarga, meminta Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk memberi maklum balas berkenaan isu yang berlaku.