Suhakam dinasihat tidak pertikai Jais serbu markas Syiah

Suhakam dinasihat tidak pertikai Jais serbu markas Syiah

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dinasihatkan untuk menghormati perlembagaan negara dan tidak mempertikaikan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu markas ajaran Syiah di Gombak baru-baru ini.

Timbalan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh mengingatkan Suhakam tentang perlembagaan Rukun Negara yang jelas hanya menjanjikan kebebasan beragama bagi mereka yang bukan beragama Islam.

Katanya, perlu difahami bahawa ajaran Syiah itu sendiri sebenarnya berada di dalam Islam dan bernaung di bawah Islam.

“Dalam perlembagaan, kita menjanjikan hak asasi kepada mereka yang beragama selain dari Islam untuk bebas mengamalkan agama masing-masing seperti Buddha, Kristian atau Hindu. Tapi Syiah itu sendiri sebenarnya bernaung di bawah Islam.

“Jadi disini, apa tindakan yang diambil oleh Jais itu dalam bidang kuasa mereka kerana ia mengikut fatwa negeri Selangor. Kita harus faham bahawa ianya bukan berkenaan dengan penganut agama lain yang tidak mendapat kebebasan dan hak mereka.

“Saya kira Suhakam memahami perlembagaan, cuma disini apabila ia di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri, saya kira Suhakam juga harus hormat kepada apa yang diperuntukan dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Dialog Rahmah ‘Majlis Muafakat Mawar Yadim bersama Ngo Wanita Islam’ di Bangi Convention Centre, hari ini

Turut hadir, Senator Raj Munni [email protected] Athirah Al Jundi; Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Aziz; dan Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) Yadim, Dr Hafidzah Mustakim.

Fuziah turut berkata, di dalam fatwa Negeri Selangor 2013 telah menyebut bahawa ajaran syiah merupakan ajaran sesat yang menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kerana itu, di dalam asas tersebut, Jais mengambil tindakan kepada penganut-penganut ajaran syiah tadi dan saya dimaklumkan bahawa tindakan mereka itu mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP),” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz ketika ditemui berkata, Suhakam seharusnya perlu akur dengan keputusan majlis agama Islam di bawah negeri masing-masing.

Ditanya tentang tindakan Suhakam yang mempertikaikan Jais sebagai sengaja mencampuri hal ehwal agama, Nik Omar berkata, Suhakam sebagai badan yang bertindak memperjuangkan hak asasi manusia perlu tahu tentang batas-batas dalam perjuangan tersebut.

“Suhakam atau NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia tetap ada batasan dia. Bila sebut hak asasi manusia, tidak lah bermaksud dia bebas sebebasnya untuk lakukan apa sahaja,” katanya.

Semalam, Suhakam melahirkan kebimbangan berkenaan serbuan terhadap pengikut Syiah di Gombak baru-baru ini yang turut melibatkan tangkapan kanak-kanak.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.