Malaysia Dateline

SUHAKAM gesa kerajaan iktiraf isu hak asasi manusia

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) kecewa apabila Laporan Tahunan 2019 tidak dapat dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, tahun ini.

SUHAKAM menyifatkan Laporan Tahunan itu perlu dibahaskan kerana ia akan memberi peluang kepada Ahli Parlimen membincangkan secara kritis isu hak asasi manusia dan syor penyelesaiannya.

Tegas SUHAKAM, Dewan Rakyat pernah membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM buat pertama kali pada 5 Disember tahun lalu.

“SUHAKAM berharap amalan ini akan diteruskan pada tahun ini dan pada masa hadapan.

“Justeru kami menggesa kerajaan mengiktiraf kepentingan isu hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada urusan kerajaan, terutamanya dalam perbahasan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan perlu mengambil kira baki hari persidangan Dewan Rakyat sebelum memuktamadkan keputusan membahaskan Laporan Tahunan SUHAKAM.

Kerajaan antara lain, jelasnya, perlu mempertimbangkan rang undang-undang (RUU) yang akan menyusul untuk dibahaskan dan berkaitan dengan RUU Perbekalan 2021.

Takiyuddin berkata, usul membahaskan laporan itu perlu dikemukakan melalui usul Menteri di JPM mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat jika mahu dibahaskan.

SUHAKAM menjelaskan Laporan Tahunan 2019 yang dikemukakan di Dewan Rakyat pada 4 November lalu mengetengahkan pelbagai isu hak asasi manusia yang mendesak di negara ini dan memerlukan tindakan segera kerajaan.

“Laporan itu mengandungi syor yang berkaitan dengan hak komuniti rentan termasuk orang asli, wanita dan kanak-kanak, mangsa pemerdagangan manusia, pelarian dan pencari suaka serta pekerja,” tegasnya lagi.