Malaysia Dateline

Suhakam pula kesal, siasatan SPRM ke atas hakim Nazlan tidak patut berlaku

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal dengan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Suhakam berkata, tindakan tersebut tidak berpelembagaan dan tidak pernah belaku sebelum ini oleh SPRM kerana dalam perlembagaan negara, sudah ada peruntukan khas mengenai kaedah mengendalikan sebarang tuduhan salah laku seseorang hakim.

Badan itu mempersoalkan apakah motif sebenar SPRM melancarkan siasatan terhadap hakim yang pernah mengadili perbicaraan ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Suhakam berpendapat, siasatan yang digerakkan SPRM itu akan menjadi duluan negatif dan berbahaya yang boleh menjejaskan badan kehakiman negara.

“Siasatan SPRM boleh membuka pintu kepada lebih banyak pertuduhan remeh dan menyusahkan, selain penyalahgunaan proses oleh agensi penguatkuasa terhadap badan kehakiman.

“Suhakam menyokong pandangan bahawa semua hakim mesti mempunyai ruang yang sesuai untuk melaksanakan tugas kehakiman mereka dengan cara yang jelas kepada semua.

“Dan keputusan kehakiman adalah bebas, bebas daripada sebarang campur tangan, beralasan dan jujur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, Suhakam bersetuju dan menyokong prinsip pengasingan kuasa demi memastikan integriti serta kebebasan badan kehakiman dilindungi.

Selain itu, pengasingan kuasa disokong bagi mengelakkan sebarang campur tangan atau tekanan politik terhadap mana-mana anggota badan kehakiman pada bila-bila masa.

Siasatan dibuat ke atas Mohd Nazlan dilakukan selepas seorang penulis blog mendakwa hakim terbabit memiliki kekayaan yang mencurigakan.

Penulis terbabit juga mendakwa Mohd Nazlan menerima RM1 juta daripada rakyat Malaysia yang dikehendaki polis, Jho Low.

Mohd Nazlan menafikan dakwaan tersebut dan dia turut membuat laporan polis mengenai tuduhan yang dikaitkan dengannya.

Baca juga: Dakwaan Hari Raya diawalkan pada Isnin tidak benar

Baca juga: Kes Tangmo Nida akhirnya selesai, polis dedah sebab kematian