Suhakam sambut baik tindakan Sarawak mansuh perintah tanah adat

Suhakam sambut baik tindakan Sarawak mansuh perintah tanah adat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk secara rasminya memansuhkan, berkuat kuasa 14 Jan 2016, Perintah Tanah (Hak Tanah Adat) (No.39) 2013 dan Perintah Tanah (Hak Tanah Adat)(No.53) 2014.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataan hari ini berkata, undang-undang itu akan memadamkan hak penduduk pribumi ke atas tanah adat di dua kawasan dikenal pasti sebagai tapak bagi cadangan Empangan Hidroelektrik Baram.

“Keputusan itu mencerminkan sikap responsif kerajaan negeri terhadap kebimbangan disuarakan penduduk pribumi yang terjejas teruk oleh projek empangan itu,” katanya.

Suhakam telah menerima memorandum daripada masyarakat yang terjejas oleh projek itu pada 2012, yang menyatakan kebimbangan kemungkinan berlaku pencabulan hak asasi manusia dan telah melawat tapak itu pada 2015 untuk mengumpulkan maklum balas daripada masyarakat berkenaan.

“Suruhanjaya mendapati penduduk pribumi terbabit daripada semua 10 kampung tidak bersetuju dengan projek itu yang akan, antara lain, menjejaskan tanah nenek moyang mereka.

“Suruhanjaya juga mendapati projek dicadangkan itu akan menjejaskan aktiviti tradisi mereka dan menyebabkan penduduk terbabit perlu dipindahkan ke penempatan semula,” katanya.

TAGS