Suhakam sokong pemansuhan undang-undang yang menindas rakyat

Suhakam sokong pemansuhan undang-undang yang menindas rakyat

Pemansuhan dan penghapusan sebarang undang-undang yang tidak lagi releven atau dilihat menindas rakyat merupakan sesuatu yang wajar terutama dalam menuju negara maju.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail mengambil contoh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) sebagai melanggar hak asasi manusia dan usaha memansuhkannya adalah tepat.

Katanya beberapa undang-undang lain sedia ada terbukti mampu untuk menjaga negara ini daripada sebarang ancaman.

“Kita mahu menjadi negara maju dan kita tidak boleh lagi berlakunya penindasan terhadap rakyat. Saya bimbang bila kuasa melebihi segala-galanya akan berlaku benda-benda yang boleh menyalahi undang-undang dalam memberikan keadilan kepada rakyat,” katanya.

Beliau bercakap kepada Bernama selepas program Suhakam Bersama Masyarakat di Dewan Auditorium Tun Abdul Razak di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) hari ini, seperti lapor Bernama.

Razali mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bercadang memansuhkan Sosma kerana menyifatkan akta itu banyak menindas rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata setiap golongan rakyat di negara ini walaupun mempunyai cara hidup berbeza hendaklah diberikan peluang untuk bekerja dan mendapatkan hak yang adil.

Terdahulu dalam dialog tersebut, Razali berkata kerajaan hendaklah memberi peluang kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil lahir untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

“Tanggungjawab itu perlu bagi membolehkan mereka mendapat hak yang adil dalam sistem pendidikan. Kita mesti ambil tindakan untuk membantu kanak-kanak yang menjadi rakyat negara ini,” katanya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS