Suhakam sokong tuntutan tanah adat Orang Asli di Lojing

Suhakam sokong tuntutan tanah adat Orang Asli di Lojing


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan pendirian badan itu menyokong tuntutan milikan tanah adat Orang Asli di Lojing dalam satu pertemuan yang diadakan dengan wakil Orang Asli hari ini.

Jerald JosephSuruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyatakan pendirian badan itu menyokong tuntutan milikan tanah adat Orang Asli di Lojing dalam satu pertemuan yang diadakan dengan wakil Orang Asli hari ini.

Pertemuan antara wakil Orang Asli ke pejabat Suhakam mahu menuntut badan itu untuk menghantar memorandum dan memohon mengadakan inkuiri awam mengenai pencabulan wilayah adat Orang Asli di Lojing, Kelantan.

Penduduk Orang Asli membabitkan 12 buah perkampungan di Lojing itu menuntut Suhakam mengadakan satu inkuiri awam terhadap kerajaan negeri Kelantan yang membenarkan pencerobohan wilayah adat Orang Asli.

Kerajaan negeri sebelum ini didakwa telah memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) atau Hak Milik Kekal (Pajakan Negeri).

Pencerobohan ini dikatakan telah berlaku sejak tahun 2000 lagi melalui pelbagai cara antaranya pembukaan kebun sayuran, ladang kelapa sawit dan getah, perlombongan, pembalakan pemilikan hotel dan penginapan dan agensi kerajaan negeri.

Dalam pertemuan itu Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata, kegagalan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan kerajaan negeri Kelantan mencari jalan penyelesaian di atas kemelut tanah adat Orang Asli sewajarnya tidak berlaku.

“Saya dapati dua tiga bahagian dalam memorandum ini mereka gagal laksanakan tanggungjawab.

“Sepatutnya jabatan perhutanan dipertanggungjawabkan menjaga hutan dan mencari jalan bagaimana hutan dan penduduk Orang Asli ini boleh hidup seiring tanpa pencerobohan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di pejabatnya hari ini.

Menurut Joseph lagi,Suhakam sudahpun menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini.

“Untuk mengadakan inkuiri awam kita akan bawa dalam mesyuarat minggu hadapan. Kami menyedari dikalangan Orang Asli sudah banyak berusaha mengekalkan tanah adat mereka tetapi kerajaan Kelantan tidak memberikan jalan penyelesaiaan yang baik,” ujarnya.

Suhakam juga memaklumkan pihaknya sudahpun membawa 18 cadangan kepada kabinet yang mana 17 telah dipersetujui.

“Suhakam bersama Majlis Peguam akan membuat lebih perincian dari sudut perundangan membabitkan Enekmen Tanah Kelantan, Akta Perhutanan dan Akta Orang Asli serta apakah tanggungjawab yang seharusnya dilaksanakan oleh setiap pegawai kerajaan.

“Kita juga akan melakukan pemantauan dalam undang-undang apakah alasan kerajaan negeri tidak mahu menolong Orang Asli memberikan tanah walaupun mereka mengakui kawasan tanah itu kepunyaan Orang Asli,” ujarnya.

Justeru katanya lagi Suhakam akan meneliti memorandum yang dihantar ke badan itu bagi tujuan penyelidikan dan penyiasatan untuk mencari maklumat lebih dalam mengenai permasalahan tanah adat Orang Asli di negeri itu.

Memorandum lima mukasurat itu telah diserahkan oleh wakil Orang Asli Moya A/L Said kepada Joseph yang hadir ke pejabat Suhakam hari ini.

TAGS