Malaysia Dateline

SUK Melaka diberi notis 24 jam tukar ke Putrajaya?

Kerajaan negeri Melaka wajar memberi penjelasan berhubung dakwaan pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ke Putrajaya dengan notis 24 jam.

Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkongsi maklumat itu di Facebooknya hari ini berkata walaupun seorang penjawat awam yang baik dan berdedikasi namun pertukaran itu mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul.

“Saya mendengar berita bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ditukarkan ke Putrajaya dengan notis 24 jam. Kerajaan negeri Melaka wajar memberi penjelasan.

“Penjawat Awam yang baik “dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau” tetapi mestilah dilakukan dengan proses dan etika yang betul,” kata beliau ringkas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali memaklumkan Bekas Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zaidi Johari telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Ts. Kamel Mohamad yang telah memegang jawatan berkenaan sejak Ogos 2021.

Terdahulu, Zaidi mengangkat sumpah jawatan dan simpan rahsia di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Bilik Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

“Tahniah kepada YB (Yang Berhormat) Datuk Zaidi. Selamat menabur khidmat bakti kepada kerajaan negeri Melaka dan rakyat negeri Melaka,” katanya Sulaiman dalam kenyataan di laman sosial Facebooknya, hari ini.