Malaysia Dateline

Sukan SEA: Venue pertandingan masih belum sedia cetus kerisauan

Berbaki 36 hari lagi menjelang Sukan SEA 2019, laporan berhubung pembinaan venue pertandingan di Filipina yang masih belum disiapkan sepenuhnya merisaukan kontinjen negara.

Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah berkata, Malaysia, sebagai salah sebuah negara yang bakal bertanding di temasya itu masih tertanya-tanya mengenai venue pertandingan.

“Memang mengecewakan kerana sudah dekat Sukan SEA namun venue masih belum bersedia lagi. Tetapi mereka (Filipina) sedar hal itu dan sedang uruskan kelewatan.

“Sebelum ini saya ada berjumpa dengan penganjur untuk bertanyakan isu ini dan mereka tahu masa sangat terhad sekarang.

“Kita (wakil Malaysia) akan ke Filipina dari 28 hingga 31 Okt ini, kita akan usulkan perkara ini pada pertemuan itu,” katanya selepas melawat persiapan skuad muay thai dan kickboxing di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dilaporkan tuan rumah kejohanan itu mengambil keputusan memindahkan beberapa venue pertandingan ke Manila pada saat-saat akhir serta penganjur dikatakan menghadapi masalah dana selain dikaitkan dengan konflik dalaman kepimpinan sukan di negara berkenaan.

Nurul Huda juga melahirkan perasaan bimbang dengan situasi itu kerana bakal mengundang masalah kepada atlet dan pegawai dalam membuat persediaan awal sebelum hari pertandingan.

Temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu bakal mempertandingkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Clark dan Subic bermula dari 30 Nov hingga 11 Dis- BERNAMA