Sukar balik mengundi kerana tiket penerbangan masih mahal

Oleh NASUHA RAHMAN

Dengan harga tiket penerbangan kembali ke Sarawak ketika ini masih lagi mahal, ia dilihat akan menyukarkan rakyat di negeri ini untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Justeru, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyeru supaya kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak harus mengambil langkah bagi memastikan harga tiket lebih berpatutan untuk rakyat negeri ini pulang mengundi sebelum 18 Disember depan.

Katanya, dalam semangat demokrasi kerajaan seharusnya menggalakkan penyertaan lebih ramai lagi rakyat dalam proses pilihan raya.

“Dengan harga yang terlalu tinggi terutamanya dalam kes berkenaan, ia dikatakan berpunca daripada penerbangan yang sangat terhad yang dikenakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

“Ia sekali gus mengakibatkan penerbangan berkurangan serta membawa kepada harga yang sangat tinggi melebihi kemampuan mana-mana rakyat biasa,” tegas Dr Kelvin.

Ujarnya lagi, walaupun pengumuman Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mengenai peningkatan kekerapan penerbangan ke Sarawak daripada 223 kepada 307 mingguan, mulai 11 Disember lepas, namun harga penerbangan ke Sarawak menjelang PRN12 adalah masih tinggi

Dengan demikian, jelas beliau ia mungkin menjadi penghalang kepada rakyat Sarawak untuk kembali menjalankan tugas sebagai pengundi.

“Terdapat laporan mengatakan bahawa dengan kelulusan diberikan untuk penerbangan tambahan ke Sarawak, syarikat penerbangan seperti AirAsia telah menurunkan harga tiket ke Kuching dari Kuala Lumpur adalah di bawah RM200.

“Tetapi carian pantas di laman web mereka tidak menunjukkan sebarang penerbangan sedemikian dan pada harga yang dilaporkan itu.

“Malah, semakan mendapati penerbangan adalah sangat terhad dengan harga tiket ialah RM300 sehala dan banyak lagi masih melebihi RM1,000 sehala.

“Untuk itu, saya mencadangkan agar tiket penerbangan dari luar atau dalam Sarawak ditawarkan kepada kadar rata yang berpatutan selama seminggu iaitu tiga hari sebelum dan tiga hari selepas pilihan raya pada 18 Disember nanti.

“Dan harga sedemikian haruslah ditawarkan untuk beberapa penerbangan bagi memenuhi permintaan dan bukan hanya terhad untuk beberapa tempat duduk,” tambah Dr Kelvin.