Malaysia Dateline

Sukar nak percaya, Malaysia kalah dengan India dan China

Sukar untuk dipercayai. Malaysia bukan sahaja kalah dengan Indonesia dan Filipina, tetapi juga kalah dengan India dan China dari segi jumlah kes dan kematian harian dalam perang melawan wabak Covid-19!

Semalam, kita mencatatkan lantunan semula untuk hari kedua berturut-turut, meningkatkan jumlah kes baharu dan kematian harian kepada 5,403 kes dan 78 kematian, berbanding dengan 4,343 kes dan 35 kematian yang dicatatkan dua hari sebelumnya.

Apa yang membuatkan peningkatan semula ini lebih mengejutkan dan sukar dipercayai adalah apabila kita bukan sahaja di belakang Indonesia dan Filipina di ASEAN, tetapi juga kalah dengan India dan China dalam benua Asia.

Semalam, Indonesia mencatatkan 434 kes baharu Covid-19 (hari ke-26 berturut-turut negara tersebut mencatatkan kes dalam julat tiga angka) dan 21 kematian akibat Covid-19 (hari ke-40 berturut-turut mencatatkan kematian dalam julat dua angka).

Sementara Filipina mencatatkan 1,407 kes baharu dan 46 kematian akibat Covid-19.

Apa yang lebih mengejutkan adalah India, yang mempunyai 43 kali ganda lebih ramai penduduk berbanding Malaysia, mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan Malaysia dengan 4,502 kes baharu dan 64 kematian akibat Covid-19 semalam.

China yang kini berada di tempat ke-113 dari segi kes terkumpul di seluruh dunia, berbanding dengan kedudukan Malaysia di tempat ke-20, mencatatkan hanya 62 kes baharu dengan sifar kematian akibat Covid-19 semalam.

Khairy Jamaluddin telah berjaya menamatkan peningkatan mendadak kes baharu dan kematian di Malaysia, namun beliau gagal menamatkan gelombang ketiga yang telah berlarutan selama 14 bulan, menjadi gelombang penularan terpanjang di dunia sejak PRN Sabah pada September tahun lepas.

Rakyat Malaysia kini menanggung bala daripada konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, kerana saya percaya walaupun ada kekurangannya, kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kadar kes dan kematian akibat Covid-19 ini rendah, seperti di Korea Selatan yang kini berada di tempat ke-73 dari segi jumlah kes terkumpul.

Jumlah kes terkumpul di Korea Selatan setakat semalam adalah 383,407 kes dengan 2,998 kematian akibat Covid-19.

Sebaliknya, walaupun peningkatan mendadak kes dan kematian di Malaysia telah dihentikan, statistik wabak ini dalam negara masih berada pada paras yang tinggi, dengan sejumlah 2,516,255 kes dan 29,427 kematian akibat Covid-19.

Inilah harga konspirasi Langkah Sheraton yang ditanggung kita semua. Jumlah kes mungkin berada di bawah paras setengah juta dan kematian di bawah 3,000 kes di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Salah satu sebab Pakatan Harapan menandatangani memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri pada 13 September 2021 adalah untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dengan menghentikan peningkatan mendadak kes Covid-19 daripada mencecah empat, lima atau enam juta kes dan mengelakkan kadar kematian dalam negara daripada mencecah sehingga kepada tahap 100,000 korban nyawa.

Tetapi, Khairy perlu menjelaskan, mengapakah prestasi negara kita amat buruk sekali, kalah bukan sahaja dengan Indonesia dan Filipina di kawasan serantau ASEAN, tetapi juga kalah dengan India dan China dalam Asia.