Sukar tawan Rantau kerana ‘mind set’ rakyat PH alat DAP

Sukar tawan Rantau kerana ‘mind set’ rakyat PH alat DAP

Persepsi dan ‘mind set’ rakyat bahawa Pakatan Harapan (PH) adalah ‘alat’ DAP yang dicanang pihak pembangkang mungkin mengundang kesukaran bagi PH untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan.

“Buat masa ini, orang Melayu telah termakan dengan ayat bahawa kami adalah ‘alat’ kepada DAP.

“Di Rantau nanti, kita akan beri penerangan macam biasa. Biarlah rakyat yang tentukan dia nak pilih siapa,” kata Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika program Bicara Minda bersama Menteri Pertahanan, di Dewan Karangkraf, semalam.

Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata persepsi yang dimainkan Barisan Nasional (BN) seperti isu perkauman juga dijangka menjadi penyumbang kepada kekurangan undi.

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) yang akan bertanding bukan menjadi faktor, sebaliknya menganggap semua PRK adalah sukar tidak kira siapa calonnya.

Beliau menjawab demikian ketika ditanya wartawan adakah kesukaran itu disebabkan pesaing daripada parti lawan, iaitu Tok Mat.

PRK Dun Rantau akan diadakan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dun Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, batal dan tidak sah.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.